HAKIKAT TAUHID
OBJEKTIF
1.
Ahli usrah memahami pengertian
dan konsep tauhid.
2.
Ahli usrah dapat membezakan ketiga-tiga
tauhid serta memahami pertautan antaranya dan tahu mengaitkannya dengan kehidupan.
3.
Ahli usrah memahami konsep syahadah.
4.
Ahli usrah memahami kewajipan
diri sebagai seorang yang telah mengucapkan syahadah.
KANDUNGAN
1.
Pengertian Tauhid
2.
Pembahagian Tauhid:
Tauhid Rububiyyah
Tauhid Uluhiyyah
Tauhid Asma was Sifaat
3.
Pertautan ketiga-tiga jenis Tauhid
4.
Pengertian Syahadah
5.
Tuntutan Syahadah:
Membenarkan segala perkara yang datangnya dari Allah dan
RasulNya
Taat kepada Allah dan RasulNya
Melakukan amar maruf dan nahi mungkar
Memberi wala kepada orang Mukmin dan menolak orang Kafir
Melaksanakan hokum-hukum dari kitab Allah dan RasulNya
PENGERTIAN TAUHID
Perkataan Tauhid berasal dari perkataan Arab (wahada) yang bereti
mengesakan. Dari segi istilah bermaksud beritiqad dan mempercayai bahawa Allah subhaanahu wa taaala itu esa dan tunggal, tiada
syirik atau sekutu baginya. Fahaman secara praktikalnya tauhid ialah suatu pegangan hidup yang mempercayai bahawa Allah subhaanahu wa taaala adalah Tuhan yang Maha Esa dan
tidak ada sekutu baginya atauupun yang menyerupaiNya. Firman Allah subhaanahu wa taaala:
Katakanlah (wahai Muhammad)
Tuhanku ialah Allah yang Maha Esa, Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon segala hajat. Ia tidak beranak
dan tidak diperanakkan. Dan tiada sesiapa yang setara denganNya.(Al-Ikhlas:1-4)
PEMBAHAGIAN TAUHID
Tauhid terbahagi kepada tiga:
1.
Tauhid Rububiyyah
2.
Tauhid Uluhiyyah
3.
Tauhid Asma was Sifaat
Tauhid Rububiyyah
Tauhid
rububiyyah bererti mempercayai Allah sebagai Rabb atau Pencipta dan Penguasa terhadap sesuatu. Allahlah Pencipta sekalian
makhluk dan alam ini, Pemilik, Pentadbir dan Pemberi segala-galanya. Allah yang menghidukan dan mematikan sesuatu, Dia yang
berkuasa memberi manfaat dan mudharat terhadap sesuatu dan tiada siapa yang berhak dan berkuasa untuk melakukan sesuatu kebaikan
atau keburukan tanpa izinNya.
Firman Allah subhaanahu wa taaala:
Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya
kecuali Dia. Dan jika Allah mengkehendaki kebaikan bagimu, maka tiada siapa yang dapat menolak kurniaanNya. Dia memberikan
kebaikan itu kepada siapa yang dikehendakinya di antara hamba-hambaNya dan Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Tauhid Uluhiyyah
Tauhid Uluhiyyah juga dikenali sebagai
Tauhid Ibadah. Tauhid Uluhiyyah ialah mengitiqad
dan beriman bahawa Allah subhaanahu wa taaala shaja yang berhak disembah dan tiada sekutu di dalam penyembahanNya. Dia
sahaja yang berhak disembah, ditaati dan dikasihi, kepadaNya tempat bertawakkal, tempat berserah, tempat menaruh harapan,
permohonan dan berdoa. Firman Allah subhaanahu wa taaala:
Hanya Engkau sahajalah (Ya Allah) yang kami sembah dan hanya kepada Engaku sahajalah yang kami memohan pertolongan.(Al-Faatehah:5)
Inilah konsep
ibadah atau pengabdian sebenarnya yang membezakan antara mukmin dengan kafir iaitu setiap perbuatan lahiriyyah dan batiniyyah
dilakukan semata-mata kerana Allah subhaanahu wa taaala dan untuk mendapatkan keredhaanNya. Ini bererti meletakkan seluruh
perbuatan, percakapan dan tingkah laku di atas perintah dan petunjuk Allah semata-mata.
Tauhid Asma was Sifaa
Tauhid Asma was Sifat ialah
mengitiqad dan beriman bahawa Allah bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan dan Maha suci dari segala sifat-sifat kekurangan
dan kelemahan dan Allah subhaanahu wa taaala mempunyai nama-nama yang layak dengan kebesaranNya. Segala nama dan sifat Allah itu tidak sama dengan nama dan sifat makhluk. Walaupun nama-nama
dan sifat-sifat tersebut sama pada sebutannya dengan nama dan sifat makhluk, tetapi hakikatnya ia tidak menyerupai nama dan
sifat makhluk. Firman Allah subhaanhu wa taaala:
Tiada
suatu pun yang sebanding
denganNya (dengan zatNya, namaNya dan sifatNya), dan Dialah Yang Mendengar Lagi Maha Melihat.
Di dalam ayat lain Allah subhaanahu wa taaala berfirman:
Dan bagi Allah
itu, nama-nama yang baik. Serulah dan berdoalah kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu dan pulaukanlah orang yang berpaling
dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya, mereka akan mendapat balasan akan apa yang mereka kerjakan.
PERTAUTAN KETIGA-TIGA JENIS TAUHID
Seseorang Muslim mestilah mentauhidkan Allah subhaanahu wa taaala pada ketiga-tiga jenis tauhid
ini. Jika tidak, dia tidak dianggap sebagai seorang Mukmin. Seseorang Mukmin wajib beritiqad bahawa Allah subhaanahu wa taaala
adalah Rabb bagi segala perkara dan tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Dia juga wajib mengaku dan beriman bahawa
Allah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan mempunyai nama-nama yang layak denganNya. Setelah seseorang beriman dengan
ketiga-tiga jenis tauhid ini maka barulah dia dikatakan telah beriman dengan Allah.
Tauhid Rububiyyah diiktiiraf dan diakui oleh semua manusia sama
ada seorang Muslim atau kafir. Oleh itu, kalau seseorang hanya mengakui dan beriman kepada tauhid ini sahaja tanpa disetai
oleh tauhid-tauhid lain, maka dia belum boleh dianggap sebagai seorang Muslim. Fitrah Insaniyyah sudah sedia mengenali dan
mengakui rububiyyah Allah subhaanahu wa taaala. Tetapi tauhid ini tidak boleh diingkari walaupun ia diakui oleh semua manusia.
Firman Allah subhaanu wa taaala:
Dan sesungguhnya jika engkau
(wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (orang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka
akan menjawab: Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad): Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka demikian tidak
mengingkari Allah) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)
Segala pengakuan manusia terbukti melalui ibadatnya yang terkandung dalam
tauhid uluhiyyah. Apabila seseorang beriman dengan tauhid uluhiyyah, maka secara tidak langsung dia beriman dengan tauhid
rububiyyah dan tauhid asma was sifat. Ini kerana, tauhid uluhiyyah terkandung di bawah tauhid-tauhid lain dan sebaliknya.
Seseorang yang beriman dengan tauhid rububiyyah sahaja tidak semestinya beriman dengan uluhiyyah Allah. Ada dari mereka yang beriman dengan
rububiyyah Allah tetapi menyembah patung, berhala, bulan dan seumpamanya tetapi tidak mentaati Allah.
Begitu juga seseorang yang beriman dengan tauhid asma was sifat
kadang-kadang kufur dengan uluhiyyah. Tetapi jika dia beriman dengan tauhid uluhiyyah dan menyembah Allah subhaanahu wa taaala,
dia juga beriman dengan dengan tauhid rububiyyah dan tauhid asma was sifat. Tauhid uluhiyyah berasaskan ucapan (Laa Ilaaha
Illa Allah). Manusia dijadikan untuk menyembah Allah. Inilah intisari tauhid uluhiyyah.
Jadi untuk menjadi seorang Mukmin yang sejati, seseorang itu wajib
beriman dengan ketiga-tiga jenis tauhid ini serentak tanpa mengasingkan di antara satu sama lain.
PENGERTIAN SYAHADAH
Pengakuan dan pengiktirafan tauhid ini tidak akan terhasil melainkan
dengan mengucap dan melafazkan dua kalimah syahadah: (Ash-haduallaailaahaillallah,waash-haduannamuhammadarrasuulullah)
yang bermaksud: Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah sebenar-benarnya melainkan Allah dan aku naik saksi
bahawasanya Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam itu persuruh Allah.
Syahadah bererti pengetahuan, penerangan, pengkhabaran, dan pernyataan.
Orang yang bersyahadah dipanggil bersaksi kerana dia mengkhabarkan dan memberitahu apa yang diketahui olehnya. Kalimah syahadah
juga mengandungi pengertian ikrar , iktiraf dan itiqad iaitu pengakuan, pengiktirafan
dan kepercayaan. Seseorang yang bersyahadah memang mempercayaai kebenaran apa yang dikhabarkannya. Orang yang bersyahadah
ini hendaklah sedar bahawa segala pengajaran dan peraturan yang disampaikan melalui Al-Quran dan Hadeeth adalah benar dan
betul. Seseorang yang bersyahadah hendaklah tunduk dan patuh kepada kehendak syahadah dan tuntutannya kerana syahadah itu
menuntut individu melaksanakan tuntutan-tuntutannya
TUNTUTAN-TUNTUTAN SYAHADAH
Syahadah yang diucapkan hasil dari kesedaran dan keikhlasan melahirkan
tauhid yang sempurna yang berfungsi untuk mendesak orang yang mengucapkannya supaya melaksanakan segala tuntutan syahadah
tersebut.
Di antara tuntutan syahadah ialah:
Membenarkan segala yang datang daripada Allah dan Rasulnya
Seseorang Mukmin
wajib percaya tanpa ragu dan syak segala yang datang daripada Allah dan RasulNya yang terkandung di dalam Al-Quran dan Hadeeth.
Seterusnya mereka percaya bahawa segala perkara yng bukan dari Allah dan RasulNya yang bercanggah dengan Islam adalah palsu.
Melaksanakan hukum-hukum dari kitab Allah dan RasulNya
Semua hukum dan peraturan Allah dan RasulNya yang
termaktub di dalam Al-Quran dan Hadeeth mesti dilaksanakan dalam semua urusan hidup, sam ada urusan ibadat, politik, ekonomi,
sosial, dan sebagainya.
Firman Allah subhaanahu wa taaala:
Maka demi Tuhanmu
(wahai Muhammad) mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim di dalam mana-mana perselisihan yang
timbul di antara mereka, kemudian mereka tidak pula merasa sesuatu di dalam hati mereka keberatan dari apa yang telah engkau
hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
Dapat difahami dari ayat ini bahawa orang-orang yang beriman rela
menghukum dengan hukum Allah dan RasulNya dan menerima hukum itu dengan hati yang terbuka dan ikhlas. Tiada perasaan tidak
puas hati atau tidak bersetuju dengan hukum tersebut dan jauh sekali dari menukarkan hukum-hukum atau undang-undang Allah
dengan undang-undang ciptaan makhluk. Oleh sebab itu, melaksanakan hukum-hukum dan undang-undang Allah merupakan suatu kewajipan
dan tanggungjawab yang besar yang wajib dilaksanakan dalam kehidupan seharian.
RUJUKAN
1. Konsep-konsep Umum Islam Abu Urwah
2. ILHAM Bahan Kendiri PJJ
3. Asas Kefahaman Islam Pusat Kajian Strategik
SOALAN-SOALAN PERBINCANGAN
1. Apakah pengertian tauhid?
2. Berdasarkan pengertian tauhid, jelaskan perbezaan di antara ketiga-tiga
tauhid juga kaitan antaranya. Sila kaitkan tauhid-tauhid ini dengan kehidupan anda.
3. Apakah yang dimaksudkan dengan syahadah?
4. Apabila seseorang telah mengucapkan syahadah, apakah tuntutan-tuntutan
dan kewajipan-kewajipan syahadah yang wajib dilaksanakannya?