Ummat yang telah mengalahkan Tartar semalam boleh mengalahkannya juga hari ini.
Surat
daripada Muhammad al-Ma'mun al-Hudhaibi - Murshid Am Ikhwan Muslimin
Bala tentera Amerika yang besar jumlahnya
telah berhimpun di rantau ini. Dalam masa yang sama, amaran, ancaman dan ugutan dilakukan oleh Presiden Amerika, Setiausaha
Pertahanannya dan para pegawai pelaksananya. Mereka semua mengugut bangsa Arab dengan segala kecelakaan dan kemalangan
yang bakal menimpa.
Segala senjata pemusnah besar-besaran Amerika digunakan untuk memaksa bangsa Arab dan
ummat Islam agar menyerah dan memberikan kesetiaan⦠agar bersedia untuk mengubah sistem dan keluar daripada ketetapan
dan pegangan⦠agar meloloskan diri daripada identiti yang sebenar, berlepas diri daripada akidah Islam, menyerahkan
seluruh bumi Palestin kepada regim Zionis dan membuka pintu seluas-luasnya bagi Zionis merampas bumi di sekitar Palestin.
Keadaannya samalah dengan apa yang telah berlaku di Afghanistan. Bangsa Arab dan ummat Islam sepatutnya mengambil
pengajaran daripada apa yang telah berlaku. Mereka juga telah melihat sendiri dan mengikuti apa yang telah berlaku.
Kemusnahan, penumpahan darah, pemusnahan kampung dan bandar, serta pemusnahan ladang dan kaum keluarga.
Persediaan
untuk menyerang Iraq samalah dengan serangan yang telah dilancarkan terhadap Afghanistan, bersama-sama dengan kenyataan
untuk membuat pembahagian dan penyusunan semula rantau ini agar dapat menjaga kepentingan Amerika, termasuklah kepentingan
regim Zionis di Israel. Serangan ini juga bertujuan agar semua orang menundukkan kepala menunjukkan kepatuhan dan
kesanggupan untuk menerima segala kehinaan.
Segala perkara ini dan apa yang ingin dilakukan oleh Presiden Amerika,
George Bush, mengingatkan kita kepada apa yang telah berlaku kepada datuk nenek kita dahulu. Terutamanya ketika kedengaran
suara- suara hari ini di sana sini yang ada di antaranya yang mengatakan bahawa serangan dan permusuhan Amerika tidak
mungkin boleh dihadapi atau ditolak lagi... atau yang mengatakan kita tidak boleh menyelamatkan diri daripada taufan
Amerika yang pasti akan melanda dan kita tidak mempunyai usaha untuk menangguhkannya atau hanya sekadar untuk mengurangkan
kesan akibat buruknya... terutamanya dalam suasana dan persekitaran yang dikuasai oleh perpecahan, percanggahan pendapat
dan pendirian serta terburainya ikatan persaudaraan, lemahnya ikatan dan faktor kepercayaan. Sebagaimana terdapat di kalangan
kita orang yang berpendapat dan melihat bahaya ancaman adalah datang daripada jirannya yang sebangsa dengannya sendiri.
Dia tidak merasa selamat ketika berada di kalangan kaumnya sendiri, kerana mereka tidak mampu untuk memberikan keamanan
dan kestabilan. Segala pengalaman pahit masih lagi terbayang dalam pemikiran.
Apa yang ingin dilakukan oleh Presiden
Amerika itu terhadap rantau kita, situasi dan keadaan kita, realiti tragedi yang kita alami, perpecahan yang menimpa
barisan kita, kelemahan dan kedhaifan yang menguasai beberapa orang daripada kita, kebimbangan dan tipudaya yang dialami
oleh sekumpulan bangsa Arab dan ummat Islam yang berpendapat sumber kegelisahannya adalah kejahatan dan permusuhan yang
diatur oleh kumpulan bangsa Arab dan ummat Islam lain terhadapnya, tanda- tanda kekecewaan dan putus asa yang kelihatan
menutupi beberapa wajah dalam banyak peristwa⦠semuanya itu mengingatkan kita kepada suasana dan situasi yang pernah
dialami oleh ummat kita dahulu. Iaitu ketika Holako bersama dengan bala tenteranya yang besar melanggar dan menyerang
bumi ummat Islam, membunuh dan menghalau ribuan daripada mereka. Holako juga menyebabkan ketakutan dan kebingungan di
seluruh bumi ummat Islam ketika itu.
Pada hari itu, beberapa orang pemerintah dan pemimpin telah membuka pintu
dan sempadan bagi dimasuki oleh tentera Tartar yang zalim itu. Para pemimpin dan pemerintah itu merasakan bahawa mereka
tidak mampu untuk menghalang serangan tentera Tartar yang menggila bagaikan taufan. Mereka berpendapat, Holako dan
tentera Tartar adalah bahaya dan ancaman yang tidak boleh ditolak serta kemusnahan yang tidak boleh diselamatkan lagi.
Mereka juga berpendapat mereka tidak mempunyai pilihan yang lain kecuali berdamai dengannya, atau bersikap hipokrit
atau menyerah diri sahaja dan tunduk kepadanya dengan harapan agar Holako masih memberikan peluang kepada mereka untuk
meneruskan kehidupan, atau paling kurangpun ia menjadi sebab untuk mendapat kasihan belasnya, atau untuk memperoleh
keampunannya. Seolah- olah mereka tidak percaya bahawa Holako dan bala tenteranya tidak sekali-kali akan kasihan terhadap
bangsa Arab dan ummat Islam, yang hanya akan merampas hak mereka untuk hidup, yang hanya akan menguasai negara mereka
dan mengecapi sumber kekayaan mereka dan seterusnya bergembira di atas mayat-mayat dan runtuhan rumah-rumah mereka.
Ketika
itu, tiada seorangpun yang percaya dengan penuh yakin terhadap kudrat Ilahi untuk menghalang taufan bala tentera Tartar
kecuali orang-orang yang benar-benar beriman dan percaya serta yakin terhadap pertolongan Allah yang telah memberikan
janji yang benar. Firman Allah SWT (Ali Imran: 173) yang bermaksud:
"Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang
(pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh
itu hendaklah kamu gerun kepadanya."Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah Allah untuk
(menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)."
Mereka juga sedia
untuk mengorbankan harta dan jiwa raga. Mereka percaya kepada kemampuan, kekuatan dan kuasa ummat mereka jika barisannya
dapat disatukan dan para pemimpin dapat berada di dalam satu barisan dengan rakyat mereka, mempunyai keazaman yang satu
bagi menuju matlamat yang satu iaitu menolak kehinaan dan berusaha memperoleh keredhaan tuhan serta bersungguh-sungguh
untuk mendapat kemenangan dan balasan yang besar.
Realiti tragedi yang berlaku hari ini mengingatkan kita kepada
realiti tragedi yang telah menimpa ummat ini dahulu.
Holako dan bala tenteranya yang ganas telah menyerang bahagian
timur dunia Islam. Mereka menyerang Baghdad dan mengharungi sungai darah bangsa Arab dan ummat Islam. Mereka mengkhianati
khalifah dan para menterinya. Mereka membunuh banyak jiwa dan menyeberangi Sungai Tigris di atas timbunan kitab-kitab
yang pernah digunakan untuk mengimarahkan perpustakaan-perpustakaan di Baghdad. Kemudian mereka melanda pula bumi
Syam. Tiada kawasan yang dilalui, melainkan mereka akan memusnah dan meruntuhkannya. Tiada kaum yang mereka temui, melainkan
mereka akan membunuhnya. Kemudian dalam perjalanan ke Mesir, mereka menuju ke Palestin, sebuah tempat yang mempunyai peranan
tersendiri dalam sejarah.
Presiden Bush hari ini samalah dengan Holako semalam. Dia mengutuskan para utusan untuk
memberikan ancaman dan ugutan kepada para pemerintah ummat Islam dan negara mereka agar menyerah dan menerima segala
undang-undang dan peraturan untuk digunakan kepada diri dan rakyat mereka. Ada di antara para pemimpin itu yang menerima
dan tunduk kepada ugutan tersebut, maka akibatnya amat pahit dan jelek. Tetapi sebaliknya ada di antara mereka yang
menolak dan bersiap sedia dengan segala kelengkapan dengan menyusun semula rumah tangganya sendiri dengan memerangi
rasuah dan kezaliman, mengukuhkan persamaan, mendahului rakyatnya dalam mengorbankan harta, kekayaan dan batu-batu permatanya.
Itu dilakukannya demi mengharapkan kemenangan. Dia juga menyatukan barisan dan mengukuhkan hubungan dengan rakyat. Oleh
itu, dia selamat dan sejahtera dan merealisasikan kemenangan bagaikan mukjizat dengan bantuan Allah.
Antara
kandungan surat Holako yang diutuskan kepada pemerintah Mesir, Sultan Qutz pada ketika itu ialah menuntutnya agar menyerah
kerana dia tidak mempunyai pilihan lain lagi. Holako menyifatkan pedang tentera Tartar di dalam surat itu bagaikan
petir dan lembing mereka bagaikan pemusnah. Holako juga menyifatkan tentera Tartar sebagai golongan yang tidak ada
kasihan belas terhadap sesiapa yang mengadu dan hati mereka tidak akan menjadi lembut kepada sesiapa yang menangis.
Lalu Sultan Qutz yang beriman dan percaya kepada pertolongan tuhannya dan yakin kepada kekuatan iman rakyatnya,
mengumpulkan para pemimpin, ulama dan cedikiawan. Ada di antara para pemimpin itu yang berpendapat bahawa mereka mesti
berlembut dengan para utusan Holako, menunjukkan ketundukan dan mengambarkan persetujuan untuk membayar ufti. Lalu
Sultan Qutz berkata kepada mereka yang lemah itu:
"Sesungguhnya pedang yang dimiliki oleh seorang yang pengecut daripada
mengharungi peperangan adalah lebih layak untuk dipatahkan."
Kemudian beliau mengisytiharkan bahawa beliau menolak
kehinaan, bahkan berazam mahu menghapuskan kejahatan dan meneguhkan kemuliaan serta kebanggaan dan membangkitkan semangat
rakyat untuk melaksanakan amanah mempertahankan tanah air. Di samping itu beliau juga bertujuan membalas dendam terhadap
ratusan ribu nyawa ummat Islam tidak berdosa yang telah dirampas hak kehidupan mereka oleh Holako di bumi dan negara
mereka sendiri.
Sultan Qutz tidak mencuaikan kewajipannya. Beliau tidak gentar untuk menghadapi seorang yang gemar
menjilat darah mangsa-mangsanya. Beliau juga tidak mundur berhadapan dengan ugutan. Beliau juga tidak digerunkan oleh
barisan dan kumpulan musuh yang besar. Dalam masa yang sama, beliau tidak mengenepikan rakyatnya yang menjadi sumber kekuasaannya,
penentu keputusan dan sumber pengorbanan. Anak-anaknya pula adalah terdiri daripada para tentera yang penuh percaya dan
beriman serta mampu menghalang musuh.
Sultan Qutz bergantung kepada para ulama yang bagaikan bintang itu untuk
menggerak dan menanam hakikat iman serta menggerakkan sifat memberi, berkorban dan berusaha. Para ulama itu diketuai oleh
al-'Izz bin Abdul Salam yang telah memberikan fatwa kepada sultan dan rakyat bahawa jihad adalah wajib dan menolak
kehinaan juga adalah wajib. Sultan Qutz juga telah menubuhkan satu jabatan yang besar bagi melakukan seruan ke arah
jihad pada jalan Allah dan menghalang serangan tentera yang zalim itu. Beliau mengumpulkan para ulama dan khatib masjid
untuk bergerak di seluruh negara Mesir. Mereka semua digerakkan oleh caj keimanan dan jihad untuk menyemarakkan semangat
jihad di dalam hati rakyat jelata, hingga menjadikan seluruh bumi Mesir sebagai sel berdenyut yang sentiasa bergerak
dan bersedia untuk mengharungi peperangan.
Sultan Qutz juga telah mengutuskan surat-surat kepada para pemerintah
di Syam agar menyatukan barisan dan mengumpulkan seluruh kekuatan bagi menghadapi musuh bersama. Beliau juga menegaskan
bahawa sekarang bukan masanya untuk berusaha menjatuhkan mana-mana pemimpin atau menentang pemerintahannya atau mengugutnya
agar melucutkan dirinya daripada singgahsana pemerintahan.
Sultan Qutz juga melakukan reformasi dalaman dengan
melebar luaskan keadilan dan mencabutkan segala akar umbi kerosakan serta kezaliman. Beliau berkata kepada sesiapa
yang cenderung untuk berdamai dengan musuh atau haloba kepada harta:
"Pendirian paling keji adalah pendirian kamu.
Demi Allah, pendirian ini kamu ambil hanya kerana kamu takut dan kecut kepada pedang-pedang tentera Tartar yang akan
memotong kepala dan tengkuk kamu yang digemukkan oleh harta yang kamu ambil daripada rakyat. Tidakkah kamu tahu wahai
pemimpin yang jahat bahawa apabila sesuatu kaum itu diperangi di dalam negara mereka sendiri maka mereka akan mendapat
kehinaan?"
Sebelum melangkah ke medan perang, beliau berkata kepada para pemimpin:
"Wahai pemimpin
ummat Islam! Kenapakah kamu sanggup memakan harta daripada baitul mal, sedangkan kamu bencikan jihad? Alangkah serupanya
kamu dengan golongan munafiqin pada zaman Rasulullah (SAW)! Demi Allah, aku dan orang-orang yang bersamaku akan memerangi
musuh Allah. Sesiapa yang memilih untuk berjihad dari kalangan kamu, maka ikutilah aku. Sesiapa yang tidak mahu, pulanglah
ke rumah. Pemergiannya tidak akan ditangisi dan dikesali, dan Allah maha tahu apa yang ada di dalam dirinya."
Seruan
beliau disambut dengan tangisan. Tentera Mesir bertakbir dalam pertempuran, lalu bumi menggegarkan tapak-tapak kaki pihak
musuh yang zalim dan melampau batas, lalu mereka berjaya mengalahkan musuh dan mendapat kemuliaan. Sultan Qutz rebah
melakukan sujud yang panjang kepada Allah. Kemudian beliau mengangkat kepala dengan air mata bercucuran keluar. Beliau
berucap kepada tenteranya:
"Wahai tenteraku! Awaslah kamu daripada perasaan takbur terhadap kejayaan yang kamu
peroleh. Tetapi bersyukurlah kepada Allah dan tunduklah kepada kekuatan dan kebesaranNya. Siapa tahu, mungkin doa yang
diucapkan oleh saudara-saudara kamu di atas mimbar pada hari yang mulia ini, iaitu hari Jumaat dan di bulan Ramadhan yang
mulia ini, ketika kamu menyerang musuh-musuh kamu, lebih tajam daripada pedang dan panah yang kamu gunakan untuk menikam
dan memanah musuh kamu. Ketahuilah bahawa jihad kamu masih belum berakhir, tetapi kamu baru saja memulakannya, sehinggalah
kamu dapat menunaikan hak Islam dengan menghalau musuh-musuhnya daripada seluruh tanah air kamu. "
"â¦dan pada
ketika itu, orang-orang yang beriman bergembira, dengan kemenangan yang diberikan Allah. Dia memberikan kemenangan kepada
sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani." (al-Rum: 4-5)
Alangkah
Serupanya Hari Ini Dengan Semalam
Apa yang berlaku hari ini⦠telah berlaku semalam⦠Tentera Amerika datang berbondong-bondong
dan melakukan kerosakan serta pembunuhan. Mereka juga melakukan kepungan untuk meneruskan pemusnahan dan pembunuhan.
Contoh yang telah berlaku di Afghanistan lebih daripada amat mendukacitakan. Sebagaimana ia hampir akan berlaku hari ini
di Iraq, iaitu satu realiti yang amat memedih dan mencukacitakan. Niat Amerika mahu melakukan perkara yang sama terhadap
negara selain Iraq sudah amat jelas kelihatan. Perpecahan dan langkah mundur yang disertai dengan laungan perdamaian
telah kita dengar dengan memberikan amaran tentang kekuatan musuh dan kemustahilan untuk menghalang kezaliman mereka,
meskipun musuh telah mengisytiharkan bahawa tidak ada sesiapa yang akan terselamat daripada penangannya nanti. Musuh
juga menegaskan bahawa sasaran seterusnya ialah tanah air, negara, sumber kekayaan, para pemimpin dan rakyat negara lain
di samping mereka mensasarkan akidah dan identiti ummat Islam. Musuh juga mengatakan mereka akan menyusun semula rumah
tangga kita sendiri dalam bentuk yang akan menjamin ketundukan dan kehinaan seluruh bangsa Arab dan ummat Islam. Musuh
juga mengisytiharkan bahawa mereka berusaha untuk meluas dan melebarkan kuasa regim Zionis di atas mayat dan runtuhan
bangsa Arab dan ummat Islam. Ini dilakukan meskipun ummat Islam memiliki kekuatan, kekuasaan dan keimanan yang mendalam
bahawa mereka mampu untuk menolak kezaliman, serta boleh menegaskan kebebasan, kedaulatan, kemegahan dan kemuliaan
mereka. Dengan syarat para pemerintah mereka berlaku adil dalam pentadbiran, merubah hala tuju dan kecenderungan,
membaiki sendiri rumahtangga mereka, menyusun semula berdasarkan istiqamah kepada syariat Allah dan sunnah RasulNya,
mengukuh dan mengaktifkan keterlibatan peranan rakyat yang akan membawa kepada kemajuan ketika segala hak rakyat dikembalikan
kepada mereka.
Rakyat hari ini merasakan bahawa mereka lemah dan tidak mampu untuk menghadapi serangan luar
dan lemah untuk membantah ugutan dan amaran Amerika. Mereka juga merasa bahawa jalan sudah tertutup dan menghalang
mereka daripada bangkit melaksanakan peranan mereka yang betul. Tiada sebab yang melahirkan perasaan lemah dan kecewa
ini melainkan ketika mereka berada jauh daripada manhaj Allah serta hanya mencari penyelesaian daripada mereka yang
merampas bumi ummat Islam dan sentiasa melebarkan kekuasaannya. Musuh itu pula hanya mahu merealisasikan jaminan kepentingannya
dan kepentingan Zionis meskipun akan mengorbankan kewujudan dan tanah air kita.
Sesungguhnya beriltizam dengan
manhaj Allah adalah jalan yang benar dan satu-satunya cara untuk menyusun semula rumahtangga kita kerana hanya dengan
cara tersebut keadilan dapat ditegakkan, kezaliman dapat dihapuskan, kebebasan dapat disebarluaskan, rasuah dapat diperangi,
ketelusan dapat diperkukuhkan, harta dan kekayaan negara dapat dipelihara, peranan institusi-institusi dapat dipertingkatkan
dan pendapat orang lain dapat dihormati. Ia bermakna rakyat berpindah daripada daerah yang terpencil dan terkepung
kepada daerah aktiviti dan kebersamaan⦠daripada kekangan, penyeksaan dan pemusnahan kemanusiaannya kepada kemuliaan,
kedaulatan undang-undang dan pengukuhan persaudaraan.
Kemenangan ummat ini dalam pertarungannya menentang serangan
Amerika adalah dijamin dengan izin Allah selagimana ummat ini berpegang teguh dengan Islamnya. Ia adalah satu-satunya
jalan iaitu dengan para pemerintahnya mengukuhkan hubungan dengan rakyat untuk mendapat kepercayaan mereka. Di samping
itu, para pemimpin juga hendaklah berusaha mencari jalan yang boleh menghilangkan segala perselisihan yang berlaku
di kalangan mereka sehingga hanya wujud perasaan tenang, saling mempercayai dan hubungan yang erat.
Niat hendaklah
ikhlas⦠hati hendaklah murni⦠hendaklah kepentingan ummat sahaja menjadi agenda utama⦠hendaklah kredibiliti dan
keseriusan menjadi asas bagi segala tindakan dan polisi yang diambil⦠hendaklah prihatin bahawa kita memulakan langkah
di atas landasan yang betul.
Hal ehwal politik hendaklah diperbaiki⦠yang memberikan peluang seluas-luasnya kepada
penglibatan rakyat dan kebebasan mereka untuk memilih. Autokrasi dalam membuat keputusan hendaklah dihapuskan. Zaman
meminggir dan memencilkan rakyat hendaklah ditamatkan. Inilah langkah pertama yang seharusnya diambil di seluruh negara
kita ketika kita menuju dengan penuh ikhlas menempuh pertempuran yang dipaksakan kepada kita. Ini perlu dilakukan
agar Iraq tidak terlepas daripada kita, agar Palestin tidak diabaikan dan akhirnya pada esok hari, seluruh negara
ummat Islam terlepas daripada kita.
Seluruh pemimpin dituntut agar mengadakan pembaikan dalam hubungan mereka
dengan tuhan mereka, iaitu dengan memulakannya dengan diri mereka sendiri. Mereka hendaklah melangkah dengan penuh keazaman,
kecekalan, kebenaran, keikhlasan dan ketelusan. Mereka hendaklah menjiwai perasaan rakyat. Mereka hendaklah mempersiapkan
agar jalan terbuka untuk rakyat percaya kepada mereka dan seterusnya berlangsunglah kemenangan dan keselamatan buat
semua.
Semua bangsa Arab dan ummat Islam telah bangkit dan keluar ke jalan- jalan melakukan demontsrasi yang besar
di setiap negara. Jutaan ummat telah berbondong-bondong keluar di semua ibu negara dengan melahirkan kutukan dan bantahan
mereka terhadap permusuhan Amerika dan keperluan untuk menghadapinya. Di Mesir sahaja, demonstrasi besar-besaran telah
berlangsung di jalan-jalan bandar Kaherah bagi menegaskan bahawa Mesir yang pernah menolak daripada menyerah kepada
tentera Tartar mampu untuk melaksanakan peranan bersejarahnya sekali lagi dalam menghadapi serangan Amerika⦠dan
bahawa bangsa Arab dan ummat Islam yang pernah memperoleh kemenangan semalam mampu untuk mencapai kemenangan sekali
lagi dengan pertolongan tuhannya ketika mereka mencernakan firman Allah SWT yang bermaksud (al-Baqarah: 216):
"Kamu
diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi
kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi
kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.� Firman Allah
lagi yang bermaksud (al-Anfal: 60): " "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis
kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan
itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya."
Firman Allah lagi yang bermaksud (al-Taubah: 41): "Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama
ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab);
dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik
bagi kamu, jika kamu mengetahui."
Muhammad al-Ma'mun al-Hudhaibi Murshid Am Ikhwan Muslimin Kaherah
26 Zulhijjah 1423 27 Februari 2003
|