Make your own free website on Tripod.com

Al-faqirah Ilallah

Luqman Al-Hakim: Model Pentarbiyyahan Islam
Home
Skima Tarbiyyah Peringkat Satu
Skima Tarbiyyah Peringkat Dua
Skima Tarbiyyah Peringkat Tiga
Ayat Hafazan
Bahan-bahan Usrah
Catatan Usrah Mingguan
Artikel Pilihan
Subhaanallah

Tarikh: 8/9/2002 9:03:41 AM

Apabila menyebut soal pendidikan anak-anak secara tidak langsung ia lebih tertumpu kepada tugas dan tanggungjawab ibu bapa.Untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang kamil tidaklah semudah yang diperkatakan dalam buku, majalah dan juga seminar-seminar yang kita hadiri.

Ia lebih menekankan soal keinsafan, kesedaran, dan juga sikap tanggungjawab yang mendalam di samping mempunyai aqidah yang kental terhadap Allah SWT. Justeru itu, Allah SWT telah merakamkan beberapa keistimewaan yang dilakukan oleh LUQMANUL HAKIM sewaktu mendidik anak. Di antara nasihat Luqman kepada anaknya ialah :

(1) Hendaklah engkau selalu berada di majlis para ulama' dan dengarlah kata-kata para hukama' (orang yang bijaksana), kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat sepertimana menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat.

(2) Janganlah engkau jadi lebih lemah daripada seekor ayam jantan, ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan engkau pada ketika itu masih terbaring di atas katilmu.

(3) Janganlah engkau tangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu akan datang tiba-tiba.

(4) Dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak orang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya.

(5) Pukulan bapa ke atas anaknya bagaikan air menyirami tanaman.

(6) Tiga orang yang tidak dapat dikenali perangai sebenarnya melainkan pada tiga keadaan.Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah, orang yang berani melainkan ketika berperang dan saudara maramu melainkan ketika engkau berhajat dan memerlukan pertolongan daripadanya.

(7) Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan seluruh umurmu lebih sedikit daripada itu. Manakala umurmu yang masih berbakti lagi amat sedikit daripada yang lebih sedikit tadi.

AQIDAH

Masalah aqidah adalah masalah yang paling penting dalam kehidupan seorang muslim.Ia merupakan asas atau tapak bagi pembangunan Islam. Dewasa ini kita dapati banyak penyelewengan terjadi sama ada dari segi pemikiran, perkataan, mahupun tingkah laku.Kesemuanya berpunca daripada tidak memahami aqidah ISLAM secara mendalam.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan ingatlah sewaktu Luqman berkata kepada anaknya: "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah(dengan sesuatu yang lain).Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (Surah Luqman: 31)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Luqman memulakan nasihat kepada anaknya supaya tidak melakukan syirik kepada Allah SWT. Jiwa anak yang masih suci itu harus dibersihkan daripada sebarang kekotoran, kerosakan dan kesesatan yang berpunca daripada syirik. Ini bererti pendidikan tauhid mesti diajar dan ditanam ke dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi.

Kebanyakan ibu bapa hari ini tidak menekankan pelajaran tauhid kepada anak-anak. Bukan sahaja demikian bahkan terdapat di kalangan ibu bapa tidak tahu mengenai pelajaran tauhid. Siapakah yang harus dipersalahkan jika anak-anak generasi muda mudah tergelincir keimanan mereka?

Syirik amat mudah berlaku sekiranya di dalam diri seseorang itu tidak ditanamkan dengan aqidah untuk beriman dengan Allah SWT secara kental.Membentuk jiwa anak-anak agar sentiasa mengingati Allah dalam segala gerak geri dan perbuatannya adalah menjadi tugas dan tujuan yang paling utama bagi setiap pendidikan. Hal yang demikian tidak mungkin berlaku kecuali setelah setiap pendidik membiasakan anak-anak mengingati Allah ketika mereka sedang bekerja, berfikir dan mendapat sesuatu. Ibu bapa perlu banyak mendidik anak-anak dengan membiasakan mereka melihat perbuatan yang baik daripada ibu bapa.Sebagai contoh Sahal bin Abdullah menceritakan bahawa:

"Ketika aku berumur tiga tahun, aku sudah mulai bangun malam dan memerhatikan bapa saudaraku solat. Tiba-tiba pada suatu hari dia bertanya kepada aku, "Adakah engkau mengingati Allah yang menjadikan engkau?" Lalu aku bertanya kembali kepadanya, " Bagaimana cara mengingatiNya?", kemudian beliau berkata kepadaku, "Sebutkan dalam hatimu tiga kali ketika hendak tidur tanpa menggerakkan lidahmu ; Allah bersamaku, Allah melihatku, dan Allah menyaksikanku".

Setelah beberapa kali aku melakukan, lalu disuruhkan pula aku menyebutnya tujuh kali pada setiap malam.Selepas itu disuruhnya pula sebelas kali hingga aku merasakan kemanisan bacaan itu dalam hatiku. Setelah berlalu masa setahun, maka dia berkata kepadaku, "Wahai Sahal! Jagalah baik-baik apa yang aku ajarkan kepada engkau itu dan bacalah ia hingga engkau masuk ke dalam kubur."

Katanya lagi, "Wahai Sahal! Siapa yang mengetahui dan menyedari yang Allah sentiasa bersamanya, menyaksikannya, apakah boleh dia berbuat maksiat lagi? Jauhkanlah dirimu daripada perbuatan maksia." Melalui proses latihan yang disebutkan di atas serta pendidikan keimanan yang murni muncullah Sahal menjadi seorang ulama' yang terkenal.

SOLAT

Firman Allah yang bermaksud:

"Wahai anak kesayanganku!Dirikanlah solat." (Surah Luqman:17) Islam memberikan keutamaan yang sangat besar dan berat kepada solat. Keutamaan ini tidak pernah diberikan kepada ibadah lain. Kenapa? Kerana ia adalah tiang agama, sebagaimana sabda Rasulullah saw bermaksud: "Pokok pangkal sesuatu adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad fisabilillah."

Solat yang dikehendaki oleh Islam bukanlah sekadar berkata-kata yang diucapkan oleh lidah dan pergerakan badan. Tetapi solat yang sebenar adalah yang dilakukan dengan penuh perhatian dan tumpuan pemikiran, penuh rasa takut dalam hati serta menzahirkan keagungan dan kebesaran Allah, itulah solat yang diterima oleh Allah swt.

Dari segi kejiwaan, solat memberikan ketenangan dan kekuatan bagi jiwa seseorang. Daripada segi kesihatan, ia mendidik seseorang supaya menjaga kebersihan dan melatih badan agar sentiasa segar dan cergas. Dari segi akhlak pula ia mencegah perbuatan mungkar dan menjaga waktu manakala dari segi kemasyarakatan solat mendidik persamaan dan persaudaraan. Sesungguhnya solat itu dapat menjaga seseorang dalam banyak perkara jika di teliti dengan sebaiknya.

Oleh: dzumala. NET ( II )

Tasbeeh kaffarah.

Sumber