Al-faqirah Ilallah

a. Jenis-jenis Najis
Home
Skima Tarbiyyah Peringkat Satu
Skima Tarbiyyah Peringkat Dua
Skima Tarbiyyah Peringkat Tiga
Ayat Hafazan
Bahan-bahan Usrah
Catatan Usrah Mingguan
Artikel Pilihan
Subhaanallah

Jenis-jenis Najis, dan Hukum-hukumnya

1.     Sesuatu yang keluar dari tubuh manusia

Kaedahnya ialah seperti berikut, segala sesuatu yang keluar daripada badan manusia yang keluarnya mewajubkan wudhu, atau mandi adalah najis. Sepeti kencing, buang air besar, mazi, wadi, darah haid, darah nifas, darah istihadhah, darah yang mengalir dari luka, dan darah yang sedikit adalah dimaafkan, sebagaimana nanah.

 Sedangkan mani, menurut Abu Hanifah dan Malik adalah najis; sedangkan menurut pendapat Syafii dan Ahmad Ibn Hanbal, dalam dua riwayat yang palin sahih daripadanya, iaitu Mazhab Zhahiri, mani itu suci. Imam Nawawi menisbatkan kesucian mani kepada para fuqaha, disamping menisbatkannya kepada para ahli hadith. Dia berkata: Pendapat ini diriwayatkan daripada Ali Ibn Abi Thalib r.a., Saad Ibn Abi Waqqash, Ibn Umar, dan Aishah r.a.

2.     Darah yang Mengalir

1.      Darah yang mengalir, yang berasal dari manusia, lelaki mahupun perempuan, dan darah binatang lainnya adalah najis.

2.      Darah kutu busuk dan udang adalah tidak najis.

3.      Darah yang tetap berada di dalam daging dan urat setelah disembelih tidak dianggap najis, kerana ia bukan merupakan darah yang mengalir (masfuh).

3.     Sesuatu yang Keluar daripada Badan Binatang

     Segala sesuatu yang keluar daripada binatang, kencing, dan kotorannya, hukumnya berbeza-beza seperti berikut:

1.       Kencing binatang yang dagingnya tidak boleh dimakan adalah najis, begitu pula kotorannya.

2.       Kencing binatang yang dagingnya boleh dimakan, terdapat sebahagian ulama yang mengatakan bahawa ia adalah sesuatu yang najis; seperti Imam Abu Hanifah dan Abu Yusuf. Kebanyakan para fuqaha mengatakannya suci; seperti Imam Muhammad Ibn Al-Hasan Al-Syaibani, Al-Nakhai, Al-Awzai, Al-Zuhri, Malik dan Ahmad.

3.        Kotoran binatang yang dagingnya boleh dimakan, menurut pendapat Imam Zafr daripada Mazhab Hanafi, adalah suci. Begitu pula pendapat  Malik. Sedangkan ulama-ulama yang lainnya mengatakan bahawa ia adalah najis. Pendapat yang mengatakan bahawa tidak najis kencing dan kotorna binatang yang boleh dimakan dagingnya ini didokong oleh Ibn Taimiyyah, dengan menyebutkan berbagai-bagai dalil untuk itu. Begitu juga halnya Al-Syawkani. Dia mengajukan hujah bahawasanya permulaan kedua-dua hal itu adalah suci; sedangkan najis merupakan hukum syariat yang tidak dapat diterima kecuali disertai dengan dalil syariat yang benar. Dan dalil itu tidak ada sehingga kita harus berpegang kepada asas permasalahannya, dan permulaan hukumnya yang bebas(al-baraah al-ashliyyah).

4.     Kotoran Burung

     Kotoran burung yang tidak terbang diudara, seperti ayam dan itik adalah kotoran yang najis; kerana adanya kandungan makna najis di dalamnya, dengan alas an bahawa sesuatu yang mulanya bersih dapat berubah menjadi kotor dan berbau setelah terkena oleh kotorannya.

 Sedangkan kotoran burung yang terbang diudara digolongkan kepada dua jenis; golongan burung yang boleh dimakan dagingnya, seperti merpati serta burung-burung lainnya, kotorannya adalah suci; dan burung-burung yang tidak boleh dimakan dagingnya, seperti burung helang, rajawali, dan sejenis dengannya, maka menurut Abu Hanifah dan Abu Yusuf kotorannya adalah suci, kerana dianggap sebagai sesuatu yang dharurat. Sebab burung-burung yang membuang kotorannya di udara sehingga kita tidak mungkin melindungi baju dan tempat-tempat kita daripada kotorannya. Sedangkan Imam Muhammad Ibn Al-Hasan berkata: Kotorannya najis kerana adanya kandungan makna najis di dalam kotoran tersebut, kerana sesuatu yang mulanya bersih dapat berubah menjadi kotor dan berbau setelah terkena olehnya.

5.     Khamar

     Di dalam buku al-Mughni, yang ditulis oleh Ibn Qudamah Al-Hanbali dikatakan bahawa khamar itu najis menurut pendapat umum para ulama. Kerana sesungguhnya Allah S.W.T. mengharamkan khasiatnya, sehingga ia dianggap najis seperti halnya babi. Dan setiap hal yang memabukkan adalah haram dan najis.

 Mereka mengemukakan hujah daripada firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

  Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan.

(Surah Al-Maidah 5:90)

 Perbuatan keji (rijs) adalah najis, kerana sesungguhnya ia diharamkan. Pengharaman yang bukan dimaksudkan sebagai suatu penghormatan merupakan dalil najisnya sesuatu yang diharamkan itu.

 Segolongan ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan perbuatan keji (rijs) dalam ayat al-Quran al-Karim tersebut adalah keji secara maknawi. Dengan dalil bahawasanya keji merupakan predikat untuk khamar dan benda-benda yang disebutkan bersamaan dengannya dalam ayat tersebut. Benda-benda tersebut tidak disifati dengan najis yang kukuh. Oleh sebab itu, berhala-berhala itu hanyalah keji daripada segi maknawi dan tidak membuatkan ia najis bagi orang yang menyentuhnya. Al-Syanani, dalam Subul al-Salam berkata: Pada hakikatnya, mula-mula pada asasnya semua benda itu suci, dan pengharaman terhadap benda tersebut tidak mengharuskan penajisannya. Oleh sebab itu ganja yang diharamkan, bahan asasnya tetap suci. Begitu pula halnya dengan semua jenis dadah, dan racun-racun yang mematikan; sebab tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa ia adalah barang yang najis. Sedangkan benda-benda yang dianggap najis menescayakan  bahawaia adalah benda yang diharamkan. Pada turutannya setiap benda yang najis itu diharamkan, dan tidak semua benda yang diharamkan itu najis. Kerana sesungguhnya hukum yang berlaku di dalam hal-hal yang najis ialah larangan untuk menyentuhnya. Hukum yang menetapkan bahawa suatu benda yang dianggap najis adalah haram untuk dimakan sebaliknya hokum yang menetapkan haramnya suatu benda tidak bererti bahawa benda itu najis. Sebagai contoh ketetapan hukum haramnya memakai/menggunakan sutera dan emas terhadap kaum lelaki, tidak mengubah status kedua-dua benda itu, kerana kedua-duanya tetap dianggap suci. Apabila anda mengetahui perkara ini, maka pengharaman himar yang jinak dan khamar yang ditunjukkan oleh nas, tidak menescayakan bahawa kedua-duanya adalahnajis. Kecuali apabila terdapat dalil lain yang menunjukkan kenajisannya. Jika tidak ada maka kedua-dua benda itu, seperti disepakati bersama, tetap dianggap sebagai suatu benda yang suci. Sesiapa yang bercanggah dengan pendapat di atas maka harus dapat menunjukkan dalilnya.

6.     Bangkai Binatang

     Terdapat berbagai kategori bangkai binatang. Dan setiap kategori ada hukumnya dari segi najis ataupun sucinya sebagai berikut:

1.       Binatang yang tidak memiliki darah yang mengalir, seperti lalat dan lain-lain, tidak menjadi najis apabila ia telah mati. Akan tetapi binatang sejenis ini (yang tidak memiliki darah yang mengalir) yang muncul daripada najis, seperti cacing kerawit, maka dia dianggap najis, sama ada ketika ia masih hidup ataupun setelah ia mati. Pendapat sepeti ini dikemukakan oelh para pengikut Mazhab Hanbali.

2.       Binatang yang mempunyai darah yang mengalir, dibahagikan kepada tiga jenis:

a.      Binatang yang bangkainya boleh dimakan, iaitu ikan dan binatang laut lainnya, yang tidak hidup kecuali di dalam air adalah suci, sama ada ketika ia hidup mahupun sesudah mati.

b.      Binatang yang bangkainya tidak boleh dimakan (selain manusia) seperti binatang yang boleh dimakan dagingnya, maka bangkainya adalah najis.

c.       Manusia tetap suci, sama ada ketika dia hidup mahupun setelah dia meninggal dunia. Sebab terdapat hadith nabi S.A.W. yang mulia yang bermaksud:

     Seorang mukmin itu tidak najis.

         Para pengikut Mazhab Hanbali mengatakan bahawa tidak ada perbezaan antara seorang Muslim dan kafir dalam masalah ini; yakni adanya anggapan tidak najis setelah dia meninggal dunia; kerana kedua-duanya adalah manusia belaka. Sedangkan Ibn Qudamah Al-Hanbali berkata: Akan tetapi ada kemungkinan bahawa orang kafir itu menjadi najis setelah dia meninggal dunia, kerana sesungguhnya hadith Nabi S.A.W. yang mulia hanya berkaitan dengan orang Muslim sahaja, dan kita tidak boleh mengkiaskan orang kafir kepadanya; kerana sesungguhnya orang-orang kafir tidak disolatkan ketika meninggal dunia dan dia tidak memiliki kehormatan seperti kehormatan yang dimiliki oleh orang Muslim. Sedangkan hukum bahagian-bahagian tubuh manusia adalah sama dengan hukum tubuh badan secara menyeluruh, sama ada yang dipotong ketika ia masih hidup mahupun setelah dia meninggal dunia, bahagian tubuh merupakan sebahagian daripada keseluruhan badan.

3.       Bahagian-bahagian tubuh bangkai yang terdapat darah seperti daging dan kulit dianggap najis; kerana terdapat darah yang tersembunyi di dalamnya iaitu darah yang masfuh. Sedangkan bahagian-bahagian tubuh yang tidak ada darahnya jika ia padat seperti tanduk, tulang, gigi, kuku, kuku kaki, rambut, bulu, dan lain-lain, maka terdapat tiga pendapat para ulama dalam hal ini:

a.      Semuanya dianggap najis. Ini merupakan pendapat yang terkenal daripada Mazhab Syafii, sebagaimana diriwayatkan daripada Imam Ahmad Ibn Hanbal.

b.      Sesungguhnya tulang, dan lain-lainnya adalah najis. Sedangkan rambut dan benda-benda yang sejenisnya adalah suci. Pendapat ini dikenali sebagai pendapat mazhab Malik dan Ahmad.

c.       Semuanya dianggap suci. Ini adalah pendapat Abu Hanifah; tetapi terdapat juga Mazhab Malik dan Ahamad yang berpendapat seperti itu.

Pendapat di atas; seperti yang dikatakan oleh Syaikh Islam, Ibn Taimiyyah; adalah benar; seraya menyebutkan berbagai dalil yang menunjukkan kebenarannya.

4.       Susu dan lemak bangkai adalah najis menurut Mazhab Hanbali. Begitu pula pendapat Mazhab Malik dan Syafii. Diriwayatkan daripada Ahmad bahawasanya ia adalah suci, dan begitu pula pendapat Abu Hanifah dan Dawud. Hujah terhadap pendapat ini adalah bahawasanya para sahabat r.a. pernah memakan keju ketika mereka memasuki Lembah Persia; dan keju ini diperbuat daripada lemak yang diambil dari anak kambing, yang kedudukannya sama dengan lemak, dan binatang sembelihan mereka dianggap sebagai bangkai. Pendapat yang terakhir ini didukung olehIbnu Taimiyyah, sekaligus menunjukkan kebenarannya.

5.       Bahagian tubuh yang dipotong ketika binatang itu masih hidup adalah najis, jika di dalam daging itu terdapat darahnya. Dan jika tidak terdapat darahnya, seperti rambut dan bulu, maka ia dianggap suci.

7.     Babi dan Anjing

     Babi adalah najis secara substantif. Bulunya dan anggota-anggota tubuhnya yang lain tidak boleh digunakan suntuk sebarang tujuan kerana ia adalah najis. Begitu pula anjing. Ia juga najis secara substantif seperti halnya babi menurut sebahagian ulama. Akan tetapi, menurut  sebahagian ulama yang lain ia bukanlah najis substantif, dan digabungkan dengan binatang-binatang lainnya yang tidak boleh dimakan dagingnya, selain babi.

8.     Binatang yang Tidak Boleh Dimakan Dagingnya kalau Ia Disembelih

     Binatang yang tidak boleh dimakan dagingnya, sekiranya disembelih, maka dagingnya adalah najis dan tidak boleh dimakan. Dalilnya, adalah hadith Anas yang mengatakan yang bermaksud:

  Kami mendapat daging himar jinak pada masa peperangan Khaibar. Kemudian juruazan Rasulullah S.A.W. mengumandangkan: Sesungguhnya Allah S.W.T. dan Rasul-Nya melarang kamu untuk memakan daging himar (jinak) kerana sesungguhnya ia najis.

Bekas Minuman (al-As'ar)
 Al-As'ar adalah jamak kepada perkataan su'r yang ertinya adalah bekas minuman. Hukum bekas minuman ini berbeza daripada segi najis dan sucinya bekas minuman itu sendiri, sebagai berikut:

1. Bekas minuman orang adalah suci, sama ada dia Muslim atau kafir, menurut pendapat para ulama'.

2. Bekas minuman binatang yang dagingnya boleh dimakan adal suci. Semua ulama' sepakat bahawa bekas minuman binatang yang boleh dimakan dagingnya adalah suci, dan boleh diminum serta digunakan untuk bersuci, seperti berwudhu'.

3. Bekas minuman kucing dan binatang yang sejenisnya yang lebih kecil, seperti tikus, adalah suci dan boleh diminum dn digunakan untuk berwudhu'. Hukumnya tidak makruh. Begitulah pendapat kebanyakan para sahabat dan tabi'in. Dalam sebuah hadith Nabi S.A.W yang mulia, berkenaan kucing disebutkan yang bermaksud:

          "Ia tidak najis. Sesungguhnya ia termasuk binatang yang suka berkeliaran sekitar kamu."           

        Diriwayatkan daripada 'Aisyah r.a. berkata yang bermaksud:

          "Saya melihat Rasulullah S.A.W. berwudhu' dengan bekas air minumnya atau dengan bekas minuman kucing."

(Diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya)

4. Bekas minuman anjing dan babi adalah najis.Begitulah pendapat Mazhab Hanbali, Syafi'i, dan Abu Hanifah. Malik, Al-Awza'i, dan Dawud berkata: "Bekas minuman kedua-dua binatang itu tetap suci, dan ia boleh digunakan untuk berwudhu' dan minum. Dan kalau kedua binatang itu menjilat makanan, maka makanan itu tidak haram dimakan."

5. Bekas air minuman binatang buas lainnya - selain kucing dan binatang yang lebih kecil daripadanya - begitu pula burung yang mempunyai cakar, himar jinak dan keldai adalah najis sebagaimana diriwayatkan daripada Imam Ahmad Ibn Hanbal. Diriwayatkan daripada Ahmad bahawa dia berkata tentang Ahmad bahawa dia berkata tentang keldai dan himar: "Kalau seorang Muslim tidak menemukan air selain bekas air minum kedua-dua binatang tersebut maka dia harus bertayamum." Sebahagian ulama' berkata: "Bekas air minuman binatang buas itu tidak apa-apa, kerana sesungguhnya 'Umar Ibn Khattab r.a. berkata tentang binatang buas. 'Binatang-binatang itu keluar kepada kita dan kita juga akan datang kepada mereka."

 Diriwayatkan pula bahawasanya Nabi S.A.W. yang mulia ditanya tentang air telaga yang ada di antara Makkah al-Mukarramah dan  Madinah al-Munawwarah yang sentiasa air itu digunakan untuk bersuci? Nabi S.A.W. yang mulia menjawab yang bermaksud:

   "Bagi binatang-binatang itu apa yang ada di dalam perutnya, dan bagi kita apa yang ditinggalkan oleh binatang tersebut, adalah suci. Ini bererti, "bagi kita apa yang ditinggalkan" ialah apa yang tersisa bagi kita adalah suci untuk kita gunakan, mengikut pendapat Al-Hasan, 'Atha', Az-Zuhri, Yahya Al-Anshari, Rabi'ah, Malik, Syafi'i, dan para ulama' lainnya.