Make your own free website on Tripod.com

Al-faqirah Ilallah

Adik dan Palestin
Home
Skima Tarbiyyah Peringkat Satu
Skima Tarbiyyah Peringkat Dua
Skima Tarbiyyah Peringkat Tiga
Ayat Hafazan
Bahan-bahan Usrah
Catatan Usrah Mingguan
Artikel Pilihan
Subhaanallah

assalamualaikum w.b.t.

Bacalah dan Hayati Setiap Baris Kata Cerita Dibawah.....

Adik bangun pagi. Adik kesat mata. Walid yang kejut adik. Adik
mengantuk sangat. Adik tarik gebar semula. Tidur balik. Walid geleng
kepala bila nampak adik tidur balik. Walid tepuk belakang adik suruh
adik mandi. Lepas mandi adik pakai baju baru. Ummi kata hari ini Hari
Raya Aidilfitri. Semua orang pakai baju baru. Tapi adik tengok ummi
pakai baju buruk,walid pun pakai baju buruk. Ummi cuma senyum bila
adik mengajukan soalan itu. Ummi kata cukuplah adik seorang pakai
baju baru.

Walid pimpin tangan adik pergi masjid. Kami jalan kaki melalui denai-
denai kecil. Sepanjang jalan adik dengar takbir raya. Allahu Akbar
Allahu Akbar, La ilaha illallah huallahu akbar, Allahu Akbar wallilla
hilham.. Adik khusyuk dengar. Merdu. Adik angkat tangan ke
telinga,lagak seperti bilal masjid sambil menjerit takbir raya. Walid
cuma ketawa kecil melihat gelagat adik. Di persimpangan jalan, kami
bertemu Pak Cik Nassier jiran adik. Adik pandang walid. Walid ralit
berbual dengan Pak Cik Nassier. Adik dengar walid berbual tentang
syahid, Yassier Arafat dan lain-lain lagi. Nama negara adik
pun walid sebut, Palestin. Tapi adik tidak faham. Adik cuma mendengar.

Adik tiba di perkarangan masjid. Masjid itu besar,tersergam indah.
Masjid kebanggaan negara adik, Masjidil Aqsa.Walid pernah beritahu
adik, Masjidil Aqsa kiblat pertama sebelum Kaabah di Mekah. Masjidil
Aqsa juga adalah salah satu tempat suci dalam Islam. Nabi Muhammad
pun mengalami peristiwa Israk dan Mikraj di masjid ini. Adik buka
kasut dan masuk ke perut masjid. Adik lihat ramai orang. Semuanya
duduk dalam saf. Walid tarik adik duduk di penjuru masjid,kemudian
walid solat tahiyatul masjid.Adik ikut walid solat raya. Adik berdiri
betul-betul dekat dengan walid. Adik pandang walid. Bila walid angkat
tahbiratul ihram adik pun angkat. Mulut walid kumat kamit membaca
sesuatu. Adik pun ikut sama walaupun adik tak tahu apa yang adik
baca. Walid rukuk,adik rukuk. Walid sujud,adik sujud.

Adik membilang anak tangga selepas selesai solat raya dan bersalam-
salaman dengan jemaah yang lain. Walid ada di belakang adik. Suasana
ketika itu tenang dan damai. Adik suka ketenangan. Adik tarik nafas,
hirup dalam-dalam udara pagi. Tiba-tiba ketenangan itu diragut. Adik
nampak ramai orang bertempiaran lari. Adik juga nampak sekumpulan
askar yang memegang senjata sedang mara menuju ke arah masjid. Adik
dengar bunyi kuat. Bunyi tembakan. Walid dukung adik erat sambil
melaungkan takbir Allahu Akbar. Adik takut. Adik pejam mata. Kaki
walid yang kuat berlari tiba-tiba terhenti. Pautan tangan walid
longgar dan akhirnya terlerai. Adik rasa seperti sekujur tubuh
tumbang dan menghenyak adik. Adik pandang belakang. Mata adik
terbeliak. Adik nampak tubuh walid. Kepala walid berdarah. Adik
menjerit nama walid. Manik-manik jernih bergentayangan dan gugur satu
persatu dari tubir kelopak mata adik. Walid pandang adik. Walid cium
pipi adik. Walid suruh adik lari. Adik geleng kepala. Adik pegang
tangan walid. Adik hendak duduk di sisi walid. Walid senyum pada
adik. Mulut walid lemah menutur kalimah syahadah. Adik goyang tubuh
walid. Walid tidak bergerak. Walid
kaku. "Waliiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiid!!!!!!!"

Adik kesat air mata. Adik lari kuat-kuat. Adik lari tidak kalih kiri
dan kanan. Sampai di rumah, adik terus menangis. Ummi hairan tengok
adik. Adik sebut nama walid berkali-kali.

Mayat walid di hantar ke rumah tidak lama selepas itu. Adik masih
menangis. Adik tengok ummi cium dahi walid. Ummi peluk adik. Beberapa
orang jiran cuba tenangkan ummi. Abang yang duduk di penjuru dinding
juga menangis. Abang dah besar. Umur abang enam belas tahun. Abang
pergi dekat walid,abang peluk dan cium walid. Selepas sembahyang adik
nampak orang angkat walid keluar rumah. Abang pun ikut sama. Adik
tidak ikut. Adik duduk rumah dengan ummi.Adik tanya ummi, mana
perginya walid. Diam. Adik tanya lagi sambil menongkat dagu
menunggu jawapan daripada mulut ummi. Ummi pandang adik, ummi kata
walid pergi ke satu tempat yang sangat cantik. Walid pergi tidak akan
kembali lagi. Adik cuma mengangguk.

"Adik nak ikut walid" Ummi geleng kepala dan peluk adik. Adik lap air
mata di pipi ummi. Adik senyum, ummi senyum.

Petang itu ramai kawan abang datang. Abang ajak mereka ke belakang
rumah. Adik berlari-lari anak ikut abang ke belakang. Abang tekun
membuat sesuatu. Sesuatu yang menyerupai senapang. Adik cuma duduk
diam dan tengok. Kawan-kawan abang pun khusyuk membuat kerja. Adik
menguap berkali-kali. Boring duduk diam tanpa melakukan sebarang
kerja. Tidak keletah adik dibuatnya. Mata adik melilau-lilau mencari
barang mainan. Adik nampak benda bulat seperti bola. Adik pergi dekat
cuba mencapai benda itu. Adik pegang dan belek. Sedang adik seronok
bermain, abang rampas 'bola' adik. Adik masam. Adik tarik muncung
empat belas. Adik marah pada abang. Abang tersenyum melihat tingkah
laku adik. Dengan lembut abang mencubit pipi montel adik. Abang
beritahu adik yang benda itu bom tangan bukannya bola seperti yang
disangka adik. Adik diam, kemudian berlari mendapatkan ummi. Merajuk.

Adik bangun awal pagi itu. Tidak seperti hari-hari lain, walid tidak
ada untuk kejut adik. Apabila teringat walid,mata adik berkaca. Adik
tidak mahu menangis. Adik orang lelaki. Orang lelaki tidak boleh
menanggis, orang lelaki kena kuat dan tabah. Adik nampak abang sedang
bersiap-siap. Abang galas beg besar. Semua benda yang abang buat
semalam abang bawa. Benda ulat seperti bola pun abang bawa. Kawan-
kawan abang semuanya sedang menungu di depan rumah. Abang cium tangan
ummi, minta izin untuk pergi. Ummi peluk abang,cium abang berkali-
kali. Adik cuma memandang dengan mata terkebil-kebil. Adik garu
kepala yang tidak gatal. Abang datang dekat adik. Abang dukung
adik,usap kepala adik. "Adik jaga ummi ya" pesan abang. "Abang nak
pergi mana" tanya adik seperti orang bodoh. "Abang nak pergi
berjuang". Abang mengukir senyuman mengakhiri bicara.

Kelibat abang hilang ditelan kabus pagi. Hanya lambaian tangan adik
mengiringi pemergian abang. Lepas abang pergi ummi cerita macam-macam
perkara pada adik. Pasal Israel, pasal syurga, pasal jihad dan banyak
lagi.Semuanya adik tidak faham. "Isra..Israfil." terkial-kial adik
menyebut perkataan itu dalam pelat yang pekat. "Bukan Israfil.
Israfilkan nama malaikat. Malaikat yang tiup sangka kala. Israel."
Ummi membetulkan sebutan adik. "Is.ra.el" akhirnya adik berjaya
menyebutnya juga. Ummi ketawa kecil. Adik ikut ketawa menampakkan
sebaris gigi adik yang ronggak. Ummi kata Israel jahat. Israel musuh
umat Islam. Israel juga musuh Allah. Israel yang mencetuskan
peperangan di bumi Palestin. Israel yang bunuh walid. Adik benci
Israel. Adik benci sesiapa yang menjadi musuh Allah.

Adik lari keluar rumah. Adik pergi ke jalan besar. Ramai kanak-kanak
sebaya adik di situ. Mereka semua baling batu kepada sekumpulan
tentera yang bersenjata di seberang jalan. Adik ingat lagi, tentera
itulah yang bunuh walid. Merekalah Israel. Adik marah. Adik geram.
Adik capai batu, adik baling kuat-kuat. Adik pejam mata. Terbayang di
kepala adik peristiwa yang menimpa walid. Adik sertai kawan-kawan
adik yang lain; membaling batu. Kadang-kadang kami lari apabila
tentera itu menyerang balas. Ada juga kawan-kawan adik kena tembak.
Tumbang satu persatu. Adik nampak baju mereka merah berlumuran darah.
Adik lari menyorok di sebalik bangunan usang untuk menyelamatkan
diri. Adik lari bersama seorang kawan adik. Namanya Jamal. Dia
juga sama dengan adik. Walidnya juga pergi ke suatu tempat yang sangat
cantik dan tidak akan kembali lagi. Apabila keadaan semakin reda, adik
pulang ke rumah. Adik berjanji dengan Jamal untuk melontarkan batu
lagi pada keesokkan harinya.

Sesampai di rumah adik berasa sangat lapar. Adik cari roti di dapur.
Adik buka almari, adik cari dalam almari tapi tidak jumpa. Perut adik
mula berbunyi minta diisi. Adik sudah makan roti petang tadi tapi
adik masih berasa lapar lagi. Adik nampak ummi pegang roti. Itu
sajalah satu-satunya roti yang tinggal di rumah kami. Ummi tidak
makan apa-apa lagi sejak pagi tadi. Adik pergi dekat ummi. Ummi yang
baru menyuapkan roti ke mulutnya tersentak. Ummi keluarkan semula
roti dari mulutnya dan suapkan ke mulut adik. Adik kunyah dengan
gelojoh. "Ummi, kenapa kita hidup susah?" adik tanya pada ummi dengan
mulut dipenuhi roti. Ummi pangku adik di ribanya. Ummi mengelus
lembut rambut adik. "Kita kena sabar sebab sabar itu cantik" ujar
ummi perlahan. "Cantik macam syurga ker ummi?" adik tanya lagi.
Ummi senyum. "Nabi Muhammad pun hidup susah juga. Baginda dilontar
batu ketika menyebarkan dakwah di Taif. Malahan kaum Quraisy ramai
yang ingin bunuh nabi. Nabi sabar,nabi tak cepat putus asa" sambung
ummi lagi. Adik dengar dengan khusyuk. Adik nak jadi baik macam Nabi
Muhammad. Nama adik pun Muhammad. Walid yang cadangkan nama itu.
Walid hendak adik tabah dan cekal macam Nabi Muhammad.

Malam itu adik duduk bersila depan ummi sambil tangan memegang Al-
Quran. Adik ikat serban sendiri. Adik lilit serban ikut suka hati
adik. Sekejap adik lilit ke kiri, sekejap ke kanan. Kadang-kadang
serban itu tutup mata adik. Adik kuak sedikit kain serban ke atas
ketika hendak membaca Al-Quran. "Bismillahirrahmanirrahim.."
Adik baca Al-Quran dengan bersungguh-sungguh. Adik baca kitab Allah 
itu dengan tekun. Ummi duduk depan adik sambil memerhati bacaan adik.
Adik hendak jadi macam abang. Umur enam tahun sudah khatam Al-Quran.
Adik baru umur tiga tahun. Adik kena baca Quran dengan rajin kalau
hendak khatam Al-Quran cepat macam abang. Adik ingat pesanan ummi.
Ummi kata Al-Quranlah satu-satunya harta yang paling berharga. Adik
ingin baca Al-Quran hari-hari. Adik tidak mahu ponteng baca Al-Quran.
Bacaan adik terhenti apabila pintu diketuk dan nama ummi dilaung-
laungkan dari luar. "Syukur ya Huda, anakmu Yassin mati syahid"muncul
Mak Cik Fatima di depan rumah. "Anakmu,anakmu adalah salah seorang
pengebom berani mati ya Huda. Tindakannya menyebabkan tujuh orang
askar Israel laknatullah terbunuh. Yassin dan tiga orang lagi pejuang
Hizbullah mati syahid. Semoga syurga menanti mereka kelak" terang Mak
Cik Fatima panjang lebar.

Ummi panjatkan doa pada Allah semoga roh abang ditempatkan dalam
golongan orang-orang yang beriman. Adik kaget. Nama
Israfil.bukan..Israel disebut lagi. Adik benci mendengar nama itu.
Kemarahan adik meluap-luap. Ummi beritahu adik abang telah pergi ikut
walid. Ummi kata ummi bangga mempunyai anak seperti abang. Adik masuk
tidur awal. Adik mimpi satu tempat yang sangat cantik. Adik nampak
walid dan abang di sana. Walid dan abang senyum pada adik. Adik cuba
kejar mereka tapi semakin adik kejar semakin mereka menghilang.

Keesokkan harinya, adik tunggu Jamal di tepi jalan seperti yang
dijanjikan.Lima minit berlalu Jamal tidak muncul-muncul juga. Hampir
setengah jam adik tunggu tapi Jamal tetap tidak muncul. Adik tidak
suka orang yang mungkir pada janji. Adik ingat lagi, salah satu ciri
org munafik ialah mungkir apabila berjanji. Adik tidak mahu jadi
munafik. Adik tanya kawan-kawan adik yang lain. Rupa-rupanya Jamal
juga seperti walid dan abang. Jamal pergi ke satu tempat yang cantik.
Tempat yang adik tidak tahu di mana letaknya. Semua orang yang adik
sayang pergi ke tempat itu. Mula-mula walid,kemudian abang dan
akhirnya Jamal.

Adik pulang ke rumah awal. Adik terkejut. Terkesima sebentar. Rumah
adik dikepung askar Israel. Mereka memang sedang mencari keluarga
adik ekoran tindakan berani mati abang mengebom kubu Israel. Tubuh
adik yang kecil memudahkan adik menyusup masuk ke dalam rumah. Adik
nampak ummi terpelosok di satu sudut. Adik lihat dengan mata adik
sendiri, tentera itu tendang ummi. Mereka sepak dan terajang ummi.
Tapi ummi masih bersabar. Ummi tidak putus-putus menyebut satu
kalimah keramat..Ahad..Ahad. Mata adik merah. Adik menahan marah.
Adik tidak suka orang pukul ummi. Adik sayang ummi. dik benci Israel.
Seorang tentera Israel mengacukan pistol ke arah ummi. Ummi dengan
tenang menghadapinya. Tiada pun segaris garisan gusar terpancar di
wajah ummi. Ketika peluru dilepaskan, tiba-tiba.....

"Muhammad!!!!!!!" Ummi menjerit sambil memegang tubuh adik. Badan adik
berlumuran darah. Pekat dan merah. Adik raba perut adik. Adik rasa
sakit. Sakit yang mencucuk-cucuk. Seketika tadi adik telah korbankan
tubuhnya untuk melindungi ummi. Natijahnya peluru itu merobek perut
adik yang tidak berdosa. Ummi peluk adik. Ummi menangis semahu-
mahunya. Adik cuba senyum pada ummi walaupun perit.

"Ummi.adik rasa mengantuk,adik nak tidur.Adik nak jadi mujahid,adik
nak ikut walid dan abang" terketar-ketar suara adik kedengaran di
cuping telinga ummi. Ummi angguk,berusaha sedaya upaya untuk menahan
air mata daripada jatuh bercucuran.Adik pejam mata. Adik nampak
walid, abang dan Jamal melambai-lambai ke arah adik.

wslm.

Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda,
Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat...