Al-faqirah Ilallah

Saya Wajib Meyakini Bahawa Masa Depan Adalah Untuk Islam
Home
Skima Tarbiyyah Peringkat Satu
Skima Tarbiyyah Peringkat Dua
Skima Tarbiyyah Peringkat Tiga
Ayat Hafazan
Bahan-bahan Usrah
Catatan Usrah Mingguan
Artikel Pilihan
Subhaanallah


Keimanan saya dengan Islam sepatutnya sampai ke peringkat meyakini
bahawa masa depan kelak ialah milik Islam. Justeru itu Islamlah yang
paling ampuh dan mampu untuk menyusun urusan hidup dan memimpin
manusia. Agama Islam adalah satu-satunya manhaj atau cara hidup yang
selaras dengan kehendak fitrah manusia. Ia dapat mengimbangkan
tuntutan lahiriah dan rohaniah insan.

Allah berfirman yang bermaksud:

Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui
(segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan Pentadbiran-Nya, lagi
Maha Mendalam Pengetahuan-Nya! (Surah Al-Mulk, Ayat: 14).



A. Manhaj Islam Bersifat Rabbani.

Manhaj Islam yang bersifat Rabbani merupakan satu corak penghayatan
yang kudus mengatasi sistem dan cara hidup ciptaan manusia. Ia mampu
untuk kekal dan memberikan saham tamaddunnya di setiap zaman, tempat
dan peringkat.

B. Manhaj Islam Bersifat Universal (Sejagat).

Manhaj Islam yang bersifat sejagat atau universal menyerlahkan ciri-
ciri keinsanan dan ciri "infitah" (bersifat terbuka atau kelapangan)
serta daya untuk menanggung kemungkinan-kemungkinannya.
Ciri "infitah" ini mengatasi pertimbangan kedaerahan, perkauman,
kebangsaan dan sebagainya. Cara ini sebenarnya adalah cetusan
dari "Sibghah Rabbaniyah" itu sendiri.

C. Manhaj Islam Bersifat Anjal (Murunah).

Keanjalan manhaj hidup Islam (atau fleksibel) memberikannya daya
untuk menghadapi aneka permasalahan hidup yang datang silih
berganti "Sibghah" atau cara ini memberikan Islam kebolehan untuk
berijtihad menyimpulkan hukum-hakam terhadap hal-hal yang tidak ada
nas, sama ada melalui qias atau maslahah mursalah, Istihsan dan
sebagainya.

D. Manhaj Islam Bersifat Syumul atau Menyeluruh.

Ciri manhaj Islam yang menyeluruh membedakannya dengan sebarang
manhaj atau sistem hidup duniawi yang mempunyai dimensi matlamat yang
terbatas. Manhaj Islam adalah manhaj ciptaan Yang Maha Mengetahui
segala masalah manusia, baik atau buruknya. Ia Maha Mengetahui apa
yang membahagiakan dan apa pula yang mencelakakan manusia. Sebab itu
Islam sahajalah yang mampu memenuhkan keperluan manusia, baik sebagai
individu, mahupun sebagai kelompok, baik dalam urusan pimpinan
mahupun perundangan. Sama ada dalam urusan dalam negeri mahupun luar
negeri.


Allah berfirman yang bermaksud:

(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami
telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah yang mencorakkan seluruh
kehidupan kami dengan corak Islam) dan siapakah yang lebih baik
celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan
kepadaNyalah kami beribadat. (Surah Al-Baqarah, Ayat: 138).

E. Kegagalan Sistem-sistem Ciptaan Manusia.

Kemudian saya harus mengetahui dan menginsafi tentang selok-belok
serta kegagalan yang dialami oleh sistem hidup dan ciptaan manusia,
baik di timur mahupun di barat. Sama ada yang berfahaman kapitalisme,
demokrasi, liberal, sosialisme atau komunisme. Tidak syak lagi ini
adalah kerana keterbatasannya, kelemahannya, sifat kesementaraannya
dan hakikat ianya dari ciptaan insan.

E.1 Kegagalan Sistem Sosial.

Dalam arena sosial, sistem-sistem yang dipanggil sebagai sistem kanan
atau kirinya ternyata gagal untuk memantapkan kebahagiaan,
keharmonian dan kestabilan. Malah terlalu banyak mala petaka yang
ditanggung oleh manusia hasil dari sistem-sistem ini. Ternyata ikatan
kekeluargaan semakin terburai. Kasih-sayang semakin pudar, akhlak
semakin luntur dan runtuh. Nilai-nilai keutamaan dan keluhuran sudah
kehilangan harga. Ketegangan dan permusuhan mengambil tempat
kedamaian dan ketenangan. Semangat egoistik dan mementingkan diri
mengalahkan semangat kerjasama dan mengutamakan orang lain.

E2. Kegagalan Sistem Ekonomi.

Dalam bidang Ekonomi, kapitalisme dan sosialisme ternyata gagal dalam
mewujudkan (syura impiannya) atau masyarakat serba adil sebagaimana
yang dilaung-laungkan. Dari sistem ini tercetuslah bermacam-macam
krisis dan permasalahan hidup. Lahir pertarungan kasta, kezaliman
sosial, eksploitasi kepartian, monopoli, kemiskinan, pengangguran dan
seribu satu macam masalah lagi.

E.3 Kegagalan Sistem Politik.

Dalam arena politik sistem-sistem ala ketenteraan, Demokrasi,
Republik, yang beraja atau tidak beraja, bertanggungjawab melahirkan,
merangsang serta membiarkan penyelewengan serta kebejatan di setiap
peringkat. Penyalahgunaan kuasa, sikap pilih kasih, rasuah, merasa
besar diri dengan kekuasaan, di samping bencana fitnah, pembunuhan,
penggulingan kuasa silih berganti, pemberontakan, penyingkiran serta
bunuh diri (assasination) hampir-hampir menjadi kelaziman sistem-
sistem tersebut.

E.4 Kegagalan Sistem Ketenteraan.

Dalam bidang ketenteraan, sistem-sistem ini (banyak menanggung dosa)
mengabaikan nasib masyarakat dan negara Islam yang lemah seperti
persoalan Kashmir, Eriteria, minoriti Islam di Filipina, persoalan
Palestine dan sebagainya. Yang lebih parah dari itu ada pula negeri
Arab yang menjadikan krisis tersebut sebagai daun dalam permainan
politiknya untuk menggadaikan atau mempergunakannya sebagai isu dan
untuk menjamin kekuasaan mereka agar berlarutan. Sistem ini juga
bertanggungjawab terhadap pengabaian membina kekuatan fizikal dan
jiwa ummah yang membolehkan mereka menghadapi penjajahan dan mengusir
Israel dari bumi Palestine.