Al-faqirah Ilallah

Hal-hal yang Wajib Dilakukan Kerana Rosaknya Puasa
Home
Skima Tarbiyyah Peringkat Satu
Skima Tarbiyyah Peringkat Dua
Skima Tarbiyyah Peringkat Tiga
Ayat Hafazan
Bahan-bahan Usrah
Catatan Usrah Mingguan
Artikel Pilihan
Subhaanallah

 Dalam hal ini ada empat perkara iaitu qada', kaffarah, fidyah, dan menahan diri selama sisa harinya untuk menyamakan dirinya dengan orang-orang yang berpuasa.
 
 Tentang qada', maka kewajipannya itu adalah umum untuk setiap orang Islam yang mukallaf yang meninggalkan puasa kerana uzur atau tanpa uzur. Orang perempuan yang haid serta orang yang murtad, wajib mengqada'kan puasanya. Adapun orang kafir, anak kecil dan orang gila tidaklah perlu mengqada'kannya. Dalam mengqada' puasa Ramadhan itu tidak diharuskan berturutan secara terus menerus, tetapi boleh mengqada' sekehendak hatinya, dengan cara dipisah-pisahkan atau dikumpulkan berterusan.
 
 Tentang kaffarah itu tidaklah diwajibkan kecuali dengan sebab persetubuhan di siang hari dalam bulan Ramadhan. Jadi untuk orang yang selain ini tidak ada kaffarah. Kaffarah atau denda bagi orang yang melanggar kehormatan bulan Ramadhan itu ialah dengan cara memerdekakan hamba sahaya dan sekiranya dia tidak berkuasa, maka wajiblah berpuasa dua bulan berturut-turut dan sekiranyaia masih tidak berkuasa juga, maka wajib memberi makanan enam puluh orang miskin satu mud seorang.
 
 Mengenai menahan makan, minum dan lain-lain selama waktu yang berbaki itu ialah ianya diwajibkan bagi seseorang berbuka secara maksiat atau tanpa uzur ataupun bagi orang yang lalai atau yang sambil lewa dalam puasanya sehingga ianya terbatal. Menahan diri diwajibkan apabila ada seorang yang dianggap adil mengatakan bahawa ia telah melihat anak bulan sabit Ramadhan, ketika pada hari syak atau hari yang diragukan iaitu hari terakhir bulan Sya'ban. Untuk orang yang sedang bermusafir, maka puasa itu adalah lebih utama daripada berbuka, kecuali kalau ia tidak berkuasa melakukannya.
 
 Adapun fidyah atau tebusan puasa adalah untuk orang perempuan yang sedang hamil (mengandung) atau menyusu. Kedua orang ini apabila berbuka puasa dan sebabnya adalah kerana khuatirkan anaknya maka untuk sehari yang ditinggalkan itu hendaklah ditebus dengan memberikan satu mud gandum (beras) kepada seorang miskin, dan puasa itu mesti diqada'kan. Adapun orang yang sudah tua, maka apabila meninggalkan puasa,hendaklah ia bersedekah untuk setiap hari yang ditinggalkannya satu mud gandum (bersa). Satu mud kira-kira 3/4 kg.