Al-faqirah Ilallah

Kewajipan-kewajipan Puasa yang Zahir
Home
Skima Tarbiyyah Peringkat Satu
Skima Tarbiyyah Peringkat Dua
Skima Tarbiyyah Peringkat Tiga
Ayat Hafazan
Bahan-bahan Usrah
Catatan Usrah Mingguan
Artikel Pilihan
Subhaanallah

 Dalam hal ini ada enam perkara iaitu:
 
 Pertama:
  Memastikan datangnya permulaan bulan Ramadhan itu dan itu dapat dilaksanakan dengan jalan melihat (rukyah) anak bulan, dan jika langit terlindung, maka disempurnakan hingga tiga puluh hari di bulan Sya'ban. Yang dimaksudkan dengan rukyah ialah mengetahuinya. Ini terhasil dati keterangan yang diucapkan oleh seseorang yang adil. Ini adalah untuk lebih berhati-hati di dalam mengamalkan ibadat puasa. Barangsiapa yang mendengar dari seseorang yang dianggap adil bahawa ia telah melihat anak bulan dan ia mempercayai ucapannya dan benar pula menurut sangkaannya, maka wajiblah ia mula berpuasa, sekalipun kadi (hakim Syarie)memberikan keputusan sebaliknya.
 
 Kedua
  Niat dan ini wajiblah dilakukan setiap malam di dalam bulan Ramadhan. Niat itu wajiblah ditentukan dengan pasti, misalnya meniatkan untuk melakukan kewajipan puasa kerana Allah Ta'ala.
   
 Ketiga:
   Menahan diri dari memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga badan dengan sengaja dan ia mengetahui ia sedang berpuasa. Jadi puasa itu batal jika seseorang itu makan, minum, memasukkan ubat ke dalam hidung atau dubur. Tetapi puasa tidaklah terbatal kerana suntikan, pembedahan urat, bercelak, bersugi, membersihkan telinga atau lubang kemaluan. Puasa juga tidaklah terbatal kerana kemasukkan debu jalan tanpa sengaja ke dalam tubuh atau masuknya lalat ke dalam mulut.Adapun kalau ia berkumur-kumur, lalu ada air yang masuk ke dalam perutnya, itupun tidak membatalkan puasanya asalkan ia tidak bersangatan sewaktu berkumur-kumur. Jadi kalau masuknya air itu kerana bersangatan maka tentulah batal,sebab ia dianggap lalai dan sambil lewa. Ini juga termasuk dalam pengertian sengaja. Mengenai ingatannya bahawa ia berpuasa, bermakna dikecualikan jika ia terlupa, misalnya termakan, terminum, dan lain-lainnya. Jadi kalau kerana terlupa, maka tidak terbatal puasanya.
 
 Keempat:
  Menahan diri dari bersetubuh. Tetapi kalau itu dilakukan kerana terlupa maka tidaklah membatalkan puasanya. Jika bersetubuh diwaktu malam atau kerana bermimpi lalu keluar air mani dan pada paginya ia masih dalam keadaan junub maka itupun tidaklah membatalkan puasanya.
 
 Kelima:
  Menahan diri dari istimna', iaitu dengan sengaja mengeluarkan air mani, baik dengan jalan bersetubuh atau selainnya. Ini membatalkan puasa. Tetapi tidak batal puasa seseorang sekiranya ia mencium isterinya atau tidur dan bergurau senda dengannya, selama tidak mengeluarkan air mani, tetapi hukumnya makruh. Kecuali kalau orang itu sudah tua atau dapat menahan hawa nafsunya, maka tidak mengapa ciuman itu, tetapi meninggalkan perbuatan tadi adalah lebih utama.
 
 Keenam:
  Menahan diri dari muntah. Kalau ini dilakukan dengan sengaja maka ia merosakkan puasanya, tetapi kalau kerana sesuatu hal, lalu muntah dengan tidak sengaja, maka tidaklah batal puasanya. Seseorang yang menelan kahak dari kerongkongnya atau dadanya, maka tidaklah rosak puasanya,sebagai keringanan, kerana hal itu merupakan hal yang biasa terjadi. Tetapi kalau sesuatu yang ditelan itu sampai dimulutnya maka batallah puasanya.