Make your own free website on Tripod.com

Al-faqirah Ilallah

Bab Rahsia Puasa
Home
Skima Tarbiyyah Peringkat Satu
Skima Tarbiyyah Peringkat Dua
Skima Tarbiyyah Peringkat Tiga
Ayat Hafazan
Bahan-bahan Usrah
Catatan Usrah Mingguan
Artikel Pilihan
Subhaanallah

 Allah Ta'ala telah mengurniakan nikmat yang amat besar kepada seluruh hambaNya iaitu dengan memberikan suatu amalan yang dapat digunakan untuk menolak tipu daya syaitan, untuk mengecewakan angan-angannya dan untuk mematahkan segala usaha busuknya. Amalan yang dimaksudkan itu ialah ibadah puasa. Itulah benteng dan perisai bagi sekalian kekasih-kekasih Allah Ta'ala. Ada sebuah hadith RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam yang bermaksud:
 
  "Puasa itu separuh dari kesabaran." (Diriwayatkan oleh Tarmizi dan Ibnu Majah)
 
 Allahu Subhanahu wa Ta'ala berfirman yang bermaksud:
 
  "Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira." (Surah Az-Zumar:10)
 
 Jelaslah dalam ayat itu bahawa pahala puasa melampaui had perkiraan dan perhitungan. Untuk mengukuhkan pendapat itu, cukuplah kalau kita mengetahui betapa besarnya keutamaan puasa itu dengan memahami sabda RasuluLlah yang berbunyi:
 
  "Demi Tuhan yang jiwaku dalam kekuasaaanNya, adalah bau mulut orang yang berpuasa itu adalah lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Allah Ta'ala berfirman (dalam hadith Qudsi: "Sesungguhnya mereka itu meninggalkan nafsu syahwat, makan dan minum keranaKu. Sesungguhnya puasa untukKu dan Aku yang akan memberikan balasan untuknya." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
 
 Orang yang berpuasa juga diberikan janji oleh Allah Ta'ala bahawa ia akan dapat bertemu dengan Allah  sebagai balasa pahala puasanya itu. Dalam hal ini RasuluLlah bersabda:
 
  "Orang yang berpuasa itu memiliki dua kegembiraan; pertama ialah ketika ia berbuka dan yang kedua ialah ketika di abertemu dengan Tuhannya." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
 
 Dalam penafsiran firman Allah Ta'ala yang bermaksud:
 
  "Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah disediakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amalsoleh yang mereka telah kerjakan." (Surah As-Sajadah:17)
 
 Para 'alim ulama' mengatakan bahawa mereka itu adalah orang-orang yang mengamalkan puasa. Keterangan sedemikian ini didasarkan dari firman Allah yang lain, sebagaimana yang terdapat dalam Al-Quran yang ertinya:
 
  "Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala puasa mereka dengan tidak terkira." (Surah Az-Zumar:10)
 
 Jadi untuk orang yang berpuasa itu pahalanya benar-benar dibalas dengan secukup-cukupnya serta dilipat gandakan dengan tidak terhitung banyaknya. Oleh sebab itu tidak dapat dibayangkan keadaannya,sebab puasa itu untuk Allah Ta'ala sendiri dan mendapat kemuliaan dan kehormatan dengan dinisbahkan untuk ZatNya sendiri, sekalipun sebenarnya semua ibadat untuk Allah jua. Sebab yang demikian itu ada dua:
 
 Pertama:
  Bahawa ibadat puasa itu merupakan satu pengekangan dan pembersihan diri dan rahsia melakukan itu tergantung kepada individu itu sendiri. Ia bukanlah suatu amalan yang dapat dilihat oleh orang ramai. Puasa tidak dapat disaksikan kecuali diri sendiri dan Allah 'Azza wa Jalla sahaja, sebab puasa itu adalah amalan batin yang berbentuk kesabaran semata-mata.
 
 Kedua:
  Bahawa ibadat puasa itu merupakan tentangan kepada musuh Allah 'Azza a Jalla. Cara syaitan adalah melalui nafsu syahwat dan kukuhnya syahwat itu adalah melalui jalan makan dan minum. Jadi menindas gerakan musuhAllah Ta'ala adalah sebagai pertolongan untk menegakkan agama Allah Ta'ala. Datangnya pertolongan Allah tergantung kepada pertolongan manusia kepadaNya, sebagaimana difirmankan Allah Ta'ala dalam al-Qur'an yang bermaksud:
 
  "Kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu." (Surah Muhammad:7)
 
 Dengan ini tahulah kita bahawa puasa itu adalah merupakan pintu ibadat dan dapat dijadikan perisai. Oleh kerana besarnya keutamaan dan fadhilatnya, sehingga mencapai tingkat yang setinggi ini, maka perlu diketahui apakah syarat-syarat yang zahir dan yang batin dan perlu dijelaskan apa rukun-rukun dan sunat-sunatnya serta syarat-syarat batinnya.
 
 
 
 
 
 
___________________________________________________________
nota kaki:
(1) Seorang bijak pandai berkata:
 
  "Puasa untuk selama-lamanya, tentulah tidak berkuasa untuk dilakukan. Jadi dengan dijadikannya kewajipan puasaitu selama sebulan sahaja dalam setahun., sungguh tepat sekali. Bulan itu adalah bulan Ramadhan. Mengapa ditetapkan dalam bulan Ramadhan? Untuk ini para ahli fikir tidak pernah ada uang menanyakannya, sebab andaikata bukan dalam bulan Ramadhan tentu di bulan yang lain. Pertanyaan sebegini akan menyebabkan kelemahan pemikiran dan kekacauan sahaja.
 
  Selanjutnya kita mengetahui bahawa untuk bersyukur kepada Zat yang mengurniakan nikmat, yang Maha Agung itu, sewajibnya kita tidak melupakan sedikitpun kepadaNya dan jangan hanya teringat kerana ada sesuatu seperti tibanya waktu ibadat yang sudah ditetapkan dan dimaklumi. Cara ingatannya itu tentulah yang sesuai dengan kekuatan kita serta yang mudah kita melaksanakannya dalam melakukan ketaatan kepadaNya."