Al-faqirah Ilallah

Malam Ini Doaku Untukmu, Iraaq
Home
Skima Tarbiyyah Peringkat Satu
Skima Tarbiyyah Peringkat Dua
Skima Tarbiyyah Peringkat Tiga
Ayat Hafazan
Bahan-bahan Usrah
Catatan Usrah Mingguan
Artikel Pilihan
Subhaanallah

Iraq.....
tidak kira Arab atau Ajam
namamu bergema lagi
disebut-sebut di pesada dunia

di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
yang sering ketandusan kebebasan dan ilmu

Iraq.....
entah mengapa nasibmu begini
di ambang perang sekali lagi

jika dulu senang saja
penjajah dipersalah
sewaktu pengunduran Khilafah Usmaniah
apabila porak peranda berlaku
dan Kuwait dicipta menjadi satu

agar lehermu mudah dicengkam
apabila namamu tidak lagi mudah
menyusuri kawasan Shat Al Arab
dan pantai-pantai Teluk Farsi
yang sarat dengan tamadun yang ditangisi

Menjelang kesunyian malam ini,
wahai Iraq.....
aku terkenang perjalananku
untuk mengenalmu
dan menghulurkan sekelumit bantuan kemanusiaan
dua belas tahun yang silam

masih jelas kulihat di mata mindaku
kanak-kanak kecil yang hanya tinggal tulang dan kulit
kehilangan tenaga dan upaya untuk hidup
di hospital yang bernama Saddam Hussain
sementara tin-tin bersusu berlonggok
dari lantai ke siling
di pejabat besar Persatuan Hilal Merah di Baghdad

Aku masih terkesan dek perjalanan berbahaya
di atas sebatang jembatan merentasi lembah curam Sungai Furat
yang dimusnahkan sebahagiannya oleh Bush si bapa
dan sepuluh tahun kemudian
juga satu perjalanan berbahaya menuju ke Kandahar
di atas sebatang jembatan merentasi lembah landai Sungai Dargastan
yang dimusnahkan sebahagiannya oleh Bush si anak!

Menjelang kedamaian malam ini
aku terbayang wajah wargamu yang berpecah-belah
sudah lali dengan keperitan hidup dicengkam kezaliman
yang genggaman kukunya lebih keras dari besi

Malam ini, kanak-kanak Kurdi, Arab dan Ajam yang tidak berdosa
yang dulunya hanya mendengar cerita 1991
daripada abang dan kakak mereka
kini menunggu dengan gementar di Mosul dan Basrah
dentuman pertama dari serangan celaka
mereka yang penuh angkara
sesuka hati merajalela kerana
kitalah umat yang memberi mereka muka!

Entah malam nanti, entah esok pagi
dengan takdir Tuhan yang Maha Esa
mungkinkah diizinkan-Nya semburan dan ledakan api
yang tidak mengenal mangsanya
tidak kira Sunni, Syi'i ataupun pengikut Masehi

Namun, Iraq.....
aku tidak putus asa untuk berdoa
kerana itulah senjata yang tinggal untuk ketika ini
agar taufan yang sedang melanda perbatasanmu
dipadamkan oleh kerahmatan Allah yang Maha Perkasa.....