Make your own free website on Tripod.com

Kepentingan baitul muslim

 

Khusus

16 okt

Maheran

Adila

Kepentingan baitul muslim

 

 

1)        Makna dan Maksud Baitul Muslim

 

2)        Kepentingan membentuk dan membina Baitul Muslim (Keluarga Muslim)

 

3)        Ciri-ciri dan sifat baitul Muslim(Rumah tangga Muslim)

 

4)        Cara memastikan pembinaan keluarga Muslim atau baitul muslim yang dicita2kan.

a.      Tanggungjawab Sebelum Berumah-tangga.

b.      Tanggungjawab Selepas Berumah-tangga.

c.      Tanggungjawab Bersama Dalam Mendidik Anak-anak.

 

 

 

1)         Maksud Baitul Muslim

 

Baitul Muslim = (Rumah Tangga/ Keluarga Muslim yang beramal dengan Islam dalam keluarganya)

 

 

2)         Kepentingan membentuk dan membina Baitul Muslim (Keluarga Muslim)

 

KELUARGA merupakan asas kepada pembangunan negara.  Keluarga yang bahagia akan melahirkan rakyat yang dapat menyumbangkan tenaga kepada pembangunan negara.  Kebahagiaan sesebuah keluarga pula amat bergantung kepada sejauh mana ahli keluarga itu berpegang teguh kepada prinsip dan ajaran  agama Islam. Penghayatan terhadap agama dan berpegang teguh kepada etika hidup yang baik akan menjamin kebahagiaan hidup sesebuah keluarga.  Menjadi kewajipan setiap ahli keluarga mengamalkan  nilai murni dan ibubapa hendaklah konsisten dalam mendidik anak-anak agar sentiasa mengamalkan perintah serta menjauhi larangan Allah.

 

3)         Ciri-ciri dan sifat baitul Muslim(Rumah tangga Muslim)

 

 

MEMBINA PERSEKITARAN BERAGAMA DALAM KELUARGA

 

a.  Memperbanyak koleksi buku,majalah dan surat khabar bercorak agama

 

b.  Minat kepada ilmu agama

 

-  Membawa anak-anak mereka ke pesta-pesta buku Islam.

 

-  Mendedahkan mereka kepada ilmu agama dalam pelbagai bentuk, seperti konsert-konsert nasyid, kaset dan video (seperti Jejak Rasul), bahan-bahan multimedia, khemah ibadah dan sebagainya.

 

-  Sewaktu masa lapang bersama keluarga, adakan dialog dan perbincangan dengan anak-anak tentang isu-isu semasa.  Bincangkan tentang kebijaksanaan Islam dalam menangani masalah tersebut.

 

-  Bawa anak-anak bermusafir, dalam sebuah kereta atau van, melancong sambil melihat kebesaran Allah ditepi-tepi pantai, bukit-bakau dan gunung-ganang.  Sambil itu, ajak mereka memikirkan kebesaran Allah, mencungkil hikmah di sebalik kejadian alam tersebut.  Atau tamsilkan alam semula jadi dengan kehidupan selepas mati.  Umpamanya, mengibaratkan tasik yang terbentang luas sebagai lautan api neraka.  Ini adalah untuk menimbulkan rasa gerun terhadap api neraka.  Sekaligus menambah keyakinan terhadap pembalasan Allah.

 

c.  Menyertai program peningkatan ilmu agama

 

Bawalah anak-anak menghadiri sebarang program yang boleh meningkatkan ilmu agama seperti kuliah-kuliah fardhu ain di masjid, surau, atau sebarang khemah-khemah ibadah.  Bagi yang berkemampuan, bawalah anak-anak menziarahi tempat-tempat peninggalan sejarah Islam seperti di Turki, Sepanyol dan Uzbekistan.  Begitu juga dengan tempat-tempat bersejarah seperti Laut Mati yang mempunyai sejarah berkenaan kutukan Allah terhadap orang yang melanggar perintahNya.  Apa yang perlu ditekankan didalam lawatan ini ialah mendapatkan pengajaran tersirat dari sesuatu tempat itu.

 

d.  Membentuk disiplin ibadah di kalangan ahli keluarga.

 

Latih anggota keluarga dan anak-anak dengan disiplin ibadah sejak mereka kecil.  Diantaranya ialah:-

 

-  Membaca al-Quran menjadi aktiviti harian. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

 

“Didiklah anak-anak kamu atas tiga perkara:  Cinta kepada Nabi kamu, cinta kepada kaum keluarganya serta membaca Al-Quran, sesungguhnya para pembaca Al-Quran itu berada didalam naungan Arasy Allah pada hari tiada naungan melainkan naunganNya bersama-sama para NabiNya dan orang-orang suciNya.” (Hadith)

 

 

 

-  Mempraktik sembahyang berjemaah.

 

Dalam konteks rumahtangga, sembahyang jemaah berperanan sebagai alat yang mengikat hati ahli keluarga.  Mungkin ianya susah diterima menurut logik akal.  Tetapi cuba anda perhati falsafah yang terkandung disebalik perbuatan ini.  Dalam sesebuah keluarga, selalunya ayah dan ibu sibuk seharian mencari nafkah bertugas di luar rumah.  Lewat petang, atau lewat malam baru masing-masing pulang ke rumah.  Anak-anak pula seharian tidak bertemu ibu dan ayah.  Pulang dari sekolah lewat maghrib dan setengahnya pula terpaksa pergi ke tuisyen di sebelah malam.  Tidak punya masa panjang dengan ibu dan ayah.  Akibatnya, ikatan hati di antara ibu ayah dan anak-anak akan menjadi longgsar.  Anak-anak akan bertindak liar dengan ibu bapa mereka.

 

Oleh itu, ibu dan ayah perlu melaungkan sedikit masa berkumpul sesama ahli keluarga.  Diantara caranya ialah menjalankan solat berjemaah setiap hari.  Paling kurang, ambillah waktu Maghrib, Isyak dan Subuh.  Selesai menjalankan solat berjemaah ini, ibu ayah serta anak-anak bersalam-salaman diantara satu sama lain.  Isteri memohon maaf terhadap suaminya.

 

Sekali-sekala jika ada kelapangan, atau dihujung minggu, ayah sebagai ketua keluarga seelok-eloknya memberi beberapa pesanan, nasihat dan peringatan agama untuk ahli keluarganya.

 

Selang masa diantara waktu Maghrib dan Isyak boleh juga digunakan untuk mendekati anak-anak.  Menyelami perasaan dan masalah seharian mereka.  Gunakan pendekatan berbeza ketika cuba menyelami perasaan mereka.  Anak-anak sangat mengharapkan ibu bapa dalam menghadapi hidup ini.  Ibu bapa sewajarnya menjadi rakan baik dan kaunselor kepada mereka.

 

Gunakanlah pendekatan yang bijaksana.  Maka mereka dengan mudah akan menceritakan masalah mereka.  Dengan cara ini, anak-anak lebih menghormati dan menghargai ibu bapa mereka.

 

Sekiranya ibu bapa menggunakan pendekatan yang keras (sebagaimana orang-orang tua dahulu kala), mereka akan lari.  Mereka akan pergi mendapatkan kawan-kawan mereka untuk meminta nasihat dan pandangan.  Sekiranya mereka bertemu dengan kawan yang baik, beruntunglah mereka.  Tetapi jika sebaliknya, kecelakaanlah bakal menimpa.

 

e.  Adakan ruang  khas untuk solat dalam rumah

 

Disatu sudut pula boleh diletakkan buku-buku agama, kitab-kitab, surah Yasin dan Al-Quran.  Ini untuk memudahkan ahli keluarga membaca Al-Quran selepas selesai menunaikan sembahyang.

 

 

 

 

 

4)         Cara memastikan pembinaan keluarga Muslim atau baitul muslim yang dicita2kan.

 

 

 

فَلَا تَدْعُ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا ءَاخَرَ فَتَكُونَ مِنَ الْمُعَذَّبِينَ(213)وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ(214)وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

 

Maksudnya:

 

Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, akibatnya engkau akan menjadi dari golongan yang dikenakan azab seksa. 214- Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. 215- Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman. (Surah Al-Syu'ara' 26: Ayat 213-215).

 

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

 

Maksudnya:

 

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah Al-Tahrim 66: Ayat 6)

 

4.1- Tanggungjawab Sebelum Berumah-tangga.

 

Saya mestlah memastikan perkahwinan saya adalah kerana Allah atau dengan kata lain membina rumah-tangga muslim, untuk melahirkan keturunan yang salih, menjadi keluarga yang mampu menunaikan amanah serta memastikan pelaksanaan hidayah Allah itu secara berterusan sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

 

ذُرِّيَّةً بَعْضُهَا مِنْ بَعْضٍ

 

"Satu keturunan yang sebahagiannya (turunan) dari yang lain" (Surah Ali-Imran 3: Ayat 34)

 

Saya mestilah menjadikan tujuan perkahwinan saya adalah untuk menjaga pandangan saya, memelihara kemaluan saya serta bertakwa kepada Allah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

 

ثلاثة حق على الله عونهم المجاهد في سبيل الله والمكاتب الذي يريد الأداء والناكح الذي يريد العفاف

 

"Ada tiga golongan yang Allah berhak menolong mereka. Pertama: Orang yang berjihad pada jalan Allah. Kedua: hamba mukatab (yang berjanji untuk menebus diri) yang menunaikan bayaran dan ketiga orang yang berkahwin kerana ingin memelihara dirinya". (Hadis riwayat Al-Tirmizi).

 

Dan sabdanya lagi yang bermaksud:

 

من تزوج فقد استكمل نصف دينه فليتق الله في النصف الباقي

 

"Sesiapa yang berkahwin sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh dari agamanya maka bertakwalah ia pada separuh yang lain".

 

(Hadis riwayat oleh Al-Tabrani Fil-Ausath)

 

Saya mestilah memilih bakal isteri yang baik kerana dengannyalah saya berkongsi hidup dan menjadi teman dalam perjuangan, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

 

تخيروا لنطفكم فإن العرق نزاع وفي رواية دساس وفي رواية فأنكحوا الأكفاء أنكحوا إليهم

 

"Pilihlah untuk keturunanmu (wanita yang baik) kerana sesungguhnya keturunan itu menjadi pertikaian. Dalam satu riwayat yang lain dikatakan: Keturunan itu menjadi desas-desus". Dalam satu lagi riwayat yang lain disebut: "Hendaklah engkau berkahwin dengan orang sekupu dan kahwinkanlah (anak-anakmu) dengan yang sekupu.

 

Saya mestilah memilih wanita yang baik akhlak dan pegangan agamanya sekalipun ia mungkin tidak punya harta kekayaan dan kecantikan kerana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

 

لا تزوجوا النساء لحسنهن فعسى حسنهن أن يرديهن ولا تزوجوهن لأموالهن فعسى أموالهن أن تطغيهن ولكن تزوجوهن على الدين ولأمة خرماء خرقاء ذات الدين أفضل

 

"Janganlah kamu mengahwini wanita kerana kecantikannya kerana bole jadi kecantikan itu akan membinasakannya, janganlah kamu mengahwini mereka kerana kekayaannya, kerana mungkin kekayaan itu merosakkannya tetapi kahwinilah mereka atas dasar pegangan agamanya. Hamba perempuan yang rabik dan hodoh tetapi baik agamanya adalah lebih utama". (Hadis riwayat Ibnu Majah)

 

amaran Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

 

من تزوج امرأة لعزها لم يزده الله إلا ذلا ومن تزوجها لما لها لم يزده الله إلا فقرا ومن تزوجها لحسبها لم يزده الله إلا دناءة ومن تزوج امرأة لم يرد بها إلا أن يغض بصره ويحصن فرجه أو يصل رحمه بارك الله له فيها وبارك لها فيه

 

"Sesiapa yang mengahwini wanita kerana memandang kepada kemuliaan (kedudukannya) sahaja, Allah tidak akan menambah apa-apa kepadanya melainkan dengan kehinaan, sesiapa yang berkahwin kerana hartanya, Allah tidak akan menambahnya kecuali kefakiran, sesiapa yang berkahwin kerana keturunannya Allah tidak akan menambahnya kecuali kerendahan tetapi sesiapa yang mengahwini wanita kerana menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya (dari perkara haram) atau kerana menghubungkan silaturahim, Allah akan memberkatinya dan isterinya".

 

4.2- Tanggungjawab Selepas Berumah-tangga.

 

Saya mestilah berlaku baik terhadapnya dan memuliakan dalam hubungan muamalah untuk membina jambatan saling mempercayai di antara saya dengannya sebagaimana Rasulullah bersabda:

 

خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهلي

 

"Orang yang paling baik di antara kamu adalah orang yang paling baik perlakuan terhadap isterinya dan akulah orang yang paling baik perlakuan terhadap isteri".

 

Dan sabda Rasulullah s.a.w:

 

أكمل المؤمنين إيمانا أحسنهم أخلاقا وألطفهم بأهله

 

"Orang-orang mukmin yang sempurna imannya ialah mereka yang baik akhlaknya dan berlemah-lembut terhadap isteri mereka".

 

Hubungan saya dengan isteri tidak seharusnya terbatas kepada hubungan di tempat tidur dan melepaskan keinginan syahwat sahaja. Malah hubungan antara kami itu mestilah hubungan yang dapat menjalinkan persefahaman dalam pemikiran, kejiwaan dan kasih sayang. Kami sama-sama membaca, menunaikan sebahagian dari 'ibadat bersama-sama turut mengatur urusan rumah-tangga dan meluangkan waktu tertentuuntuk bergurau-senda dan bermanja.

 

Dalam urusan 'ibadah Allah s.w.t berfirman:

 

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا

 

Maksudnya:

 

"Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan sembahyang dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya..." (Surah Taha 20: Ayat 132)

 

Dan firman Allah:

 

وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ وَكَانَ عِنْدَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا

 

Maksudnya:

 

"Dan ia (Nabi Ismail a.s) memerintahkan ahlinya mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan ia adalah seorang yang diredai di sisi Tuhannya". (Surah Maryam 19: Ayat 55)

 

Dalam hal bermesra dengan isteri, Rasulullah s.a.w pernah berlumba-kejar dengan Aisyah r.a. Manakala dalam hal membantu urusan rumah-tangga, baginda melakukan banyak kerja, di antaranya baginda menjahit serta memperbaiki kasut.

 

Selain dari perkara-perkara di atas, seluruh hubungan saya dengan isteri saya mestilah tidak terkeluar dari batas-batas syariat, tidak menjatuhkan nama baik Islam dan tidak tercebur ke dalam hal-hal yang haram kerana sesungguhnya Rasulullah s.a.w memberi amaran:

 

ما من أحد يطيع امرأة في ما تهوي إلا كبه الله في النار

 

"Tidak ada seorang yang tunduk menurut kehendak wanita melainkan Allah mencampakkannya ke dalam neraka".

 

Rasulullah juga bersabda:

 

لا يلقي الله أحد بذنب أعظم من جهالة أهله

 

"Seorang itu tidak menemui Allah dengan membawa dosa yang sangat besar dari kejahilan isterinya".

 

Sabda baginda lagi:

 

تعس عبد الزوجة

 

"Celakalah orang yang menjadi hamba isterinya".

 

4.3- Tanggungjawab Bersama Dalam Mendidik Anak-anak.

 

Sebenarnya kejayaan dalam perkahwinan dengan memilih isteri yang salihah dan membentuk pasangan suami-isteri yang serasi dengan acuan Islam merupakan saham yang sangat besar dalam membantu melaksanakan pendidikan Islam kepada anak-anak. Sebaliknya kegagalan perkahwinan dan tersalah pilih bakal isteri adalah punca kepada keburukan dan keruntuhan ke atas rumah-tangga seluruhnya.

 

Apapun pertentangan yang berlaku dalam kehidupan suami isteri akan memberi kesan secara langsung ke dalam pendidikan anak-anak dan jiwa mereka. Ekoran dari ini sebahagian dari sifat-sifat kekusutan jiwa dan penyimpangan akan diwarisi pula oleh anak-anak. Oleh yang demikian anasir yang pertama yang dapat menjamin terlaksananya pendidikan secara Islam ke atas kanak-kanak ialah melaksanakan perkahwinan menurut yang dianjurkan oleh Islam.

 

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

 

Maksudnya:

 

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (Surah Al-Furqan 25: Ayat 74)

 

sabda Nabi s.a.w:

 

يولد الولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه

 

"Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan bersih (fitrahnya) maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. (Muttafaqun 'Alaih)

 

Oleh sebab itu Islam memandang berat dalam urusan mendidik anak-anak serta menggesa supaya mencari sebab-sebab, norma-norma serta udara yang baik untuk menjamin terlaksana tarbiah yang baik. Rasulullah bersabda:

 

لأن يؤذب الرجل ولده خير له من أن يتصدق به بصاع

 

"Seorang yang mendidik anaknya (dengan baik) adalah lebih baik dari bersedekah dengan secupak". (Diriwayatkan oleh Al-Tirmizi).

 

Sabda Rasulullah s.a.w:

 

إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو علم ينتفع به أو ولد صالح يدعو له

 

"Apabila mati seorang anak Adam, terputuslah segala amalan (dari dia) kecuali tiga (kebaikan): Sedekah jariah (yang ikhlas), ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang salih yang mendoakan (kebaikan) untuknya".